BISNES

M K Land rangkul Anugerah Emas, Perak di MPRA 2025

Astro Awani 02/12/2025 | 04:40 MYT
Pasukan Kumpulan Komunikasi Strategik M K Land meraikan kemenangan berganda mereka di malam acara MPRA 2025, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Konglomerat hartanah, M K Land Holdings Berhad (M K Land) mencatat kejayaan berganda apabila meraih Anugerah Emas dan Perak di Malaysia Public Relations Awards (MPRA) 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai peneraju komunikasi strategik di Malaysia.

Pengiktirafan berprestij itu diberikan bagi dua kategori utama iaitu Product Brand Development Award (B2C) yang membawa pulang Anugerah Emas, serta Best Use of Social Media Award yang memenangi Anugerah Perak.

Kedua-dua kemenangan ini berkait dengan kempen promosi Senja by Ombak Villa Langkawi, ruang acara pertama di Malaysia yang menghadap laut dan menerima pensijilan GreenRE, menjadikannya mesra alam dan mampan.

Kempen tersebut memperlihatkan bagaimana M K Land memanfaatkan pelbagai instrumen komunikasi termasuk media sosial, saluran digital dan aktiviti lapangan untuk meningkatkan kesedaran jenama serta penglibatan pihak berkepentingan.

Ketua Pegawai Operasi M K Land, Nazri Tumin menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti keberkesanan strategi komunikasi syarikat dalam membentuk semula naratif jenama dan meningkatkan kepercayaan terhadap produk serta perkhidmatan.

“Memenangi Anugerah Emas dan Perak di MPRA tahun ini merupakan pencapaian luar biasa. Ia menggambarkan sejauh mana kami berjaya membentuk semula kehadiran M K Land dalam pasaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Komunikasi Strategik dan Kelestarian, Shahreen Rahim turut menekankan bahawa kejayaan ini adalah hasil komitmen pasukan dalam memanfaatkan setiap platform komunikasi secara efektif dan strategik, termasuk digital, penjenamaan dan penglibatan lapangan.

Malaysia Public Relations Awards merupakan platform paling berprestij dalam industri komunikasi, diiktiraf oleh rangkaian global seperti Public Relations Global Network (PRGN) dan International Association of Business Communicators (IABC), sekali gus menjadikan kemenangan ini signifikan buat M K Land.

Kejayaan membawa pulang kedua-dua anugerah ini menempatkan M K Land sebagai antara peneraju industri komunikasi strategik di Malaysia, selain memberi inspirasi kepada syarikat untuk terus meningkatkan standard dalam landskap PR negara.



#M K Land #Malaysia Public Relations Awards #MPRA 2025 #Ombak Villa Langkawi