[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
BISNES

MAG masih belum bayar dividen kepada Khazanah, harap kekal untung pada 2026, 2027

Bernama 16/12/2025 | 00:40 MYT
IZHAM: Dividen merupakan matlamat kami, tetapi ia tidak menjadi dengan baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) masih belum mengumumkan sebarang pembayaran dividen kepada pemegang saham utamanya, Khazanah Nasional Bhd, walaupun kumpulan itu optimis dapat mengekalkan keuntungan dari 2026 atau 2027 dan seterusnya seiring pelaksanaan rancangan pertumbuhan jangka panjangnya.


Ringkasan AI
  • MAG belum mengumumkan pembayaran dividen kepada pemegang saham utamanya, Khazanah Nasional Bhd, namun fokus pada mengukuhkan kedudukan kewangan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang di bawah Pelan Perniagaan LTBP3.0.
  • Prioriti MAG ialah perbelanjaan modal yang besar untuk pembelian pesawat baru serta pembiayaan sendiri melalui jualan dan instrumen pasaran modal, sambil mengekalkan keutamaan pelaburan semula ke dalam perniagaan berbanding dividen.
  • Tiada keputusan mengenai penyenaraian semula MAG di Bursa Malaysia; sementara itu, tuntutan MH370 masih dalam proses undang-undang dan perniagaan Firefly masih dalam semakan bergantung kepada prestasi pada masa akan datang.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG Kapten Izham Ismail berkata walaupun pembayaran dividen kekal sebagai aspirasi, tumpuan segera kumpulan itu adalah untuk mengukuhkan kedudukan kewangan bagi menyokong pengembangannya di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0).

"Setakat ini belum ada pembayaran dividen lagi. Pemegang saham sangat menyedari pelaburan yang diperlukan untuk pertumbuhan kami," katanya kepada pemberita pada taklimat media berhubung LTBP3.0 di sini semalam.

Beliau berkata pembiayaan untuk pengembangan armada kumpulan itu yang akan datang tidak akan diperoleh daripada pemegang saham, kerana MAG bercadang untuk mengumpul modal secara sendiri melalui gabungan jualan, pajakan kewangan atau instrumen pasaran modal.

"Dividen merupakan matlamat kami, tetapi ia tidak menjadi dengan baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.



Mengutamakan perbelanjaan modal, tiada pembiayaan daripada pemegang saham



MAG merancang perbelanjaan modal (capex) yang besar dalam beberapa tahun akan datang, termasuk pembelian kira-kira 20 pesawat berbadan lebar dan 30 pesawat berbadan sempit sebagai sebahagian daripada strategi pembaharuan armada dan pertumbuhan kapasitinya.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Boo Hui Yee berkata keutamaan pemegang saham adalah untuk MAG berdikari dari segi kewangan, dengan mengutamakan pelaburan semula ke dalam perniagaan berbanding pengagihan dividen pada peringkat ini.

"Bagi kami, pelaburan semula ke dalam perniagaan menjadi keutamaan. Pembayaran dividen pula bukan keutamaan memandangkan skala modal yang diperlukan," katanya.

MAG juga sedang meneroka pilihan pembiayaan dalam mata wang selain ringgit, seperti dolar Amerika Syarikat (AS) atau euro untuk mewujudkan lindung nilai semula jadi.

Kumpulan itu juga menjangkakan untuk meningkatkan margin keuntungan operasi kepada sembilan peratus menjelang 2030.



Tiada komen berhubung penyenaraian semula



Menjawab soalan mengenai kemungkinan MAG disenarai semula di Bursa Malaysia pada masa hadapan, Kapten Izham berkata perkara itu sepenuhnya terletak di bawah bidang kuasa pemegang saham.

"Berhubung penyenaraian, ia berada di luar bidang kuasa MAG. Itu adalah keputusan pemegang saham," katanya sambil menambah bahawa beliau tidak berada pada kedudukan yang membolehkan untuk memberi komen selanjutnya



Tuntutan MH370 di bawah semakan semula undang-undang



Mengenai dakwaan tuntutan oleh pihak China yang berkaitan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, Kapten Izham berkata perkara itu kini sedang ditangani oleh Malaysia Airlines dan penasihat undang-undangnya.

"Kami mempunyai kenyataan sementara berhubung perkara itu. Ia sedang diuruskan oleh Malaysia Airlines dan peguamnya. Mungkin ia hanya sebagai defendan bersama pada masa ini. Kami tidak mempunyai mandat yang besar kerana ia masih di bawah proses perundangan," katanya.

Kapten Izham, yang akan bersara sebelum tamat kontraknya pada 31 Jan, 2026, berkata kumpulan itu kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan LTBP 3.0 dan memastikan organisasi itu kekal berdaya tahan dari segi kewangan ketika memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.

Pada 8 Disember, mahkamah di Beijing mengarahkan Malaysia Airlines supaya membayar pampasan lebih 2.9 juta yuan kepada setiap waris lapan penumpang pesawat MH370.



Perniagaan Firefly masih dalam semakan, bergantung kepada prestasi



Mengulas mengenai Firefly, anak syarikat MAG, Kapten Izham berkata perniagaan itu masih dalam semakan, dengan hala tuju masa depannya bergantung kepada prestasi dalam beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata Firefly, yang dikembangkan kepada operasi jet bagi merebut peluang dalam segmen nilai, kini sedang diuji di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menyokong aliran rangkaian penerbangan ke Malaysia Airlines.

"Jika keadaannya merosot, maka kami perlu membuat beberapa keputusan drastik pada ketika itu. Saya menjangkakan sekitar 2028 atau 2029, semua pilihan akan dipertimbangkan," katanya.

-- BERNAMA

#MAG #dividen #Khazanah #Bursa Malaysia #Izham Ismail