Ringkasan AI
- Malaysia Aviation Group (MAG) memeterai tujuh kerjasama strategik dengan syarikat global untuk memperkukuh keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta operasi kejuruteraan.
- Kerjasama melibatkan Thales, Airbus FHS, AFI KLM E&M, Boeing, Collins Aerospace, CEVA Logistics dan Batik Air Malaysia, bertujuan meningkatkan kebolehpercayaan armada dan daya tahan rantaian bekalan.
- Inisiatif ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi, ketersediaan komponen kritikal dan menyokong pertumbuhan jangka panjang perniagaan MRO MAG dalam sektor penerbangan.
KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) memperkukuh keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta operasi kejuruteraannya menerusi tujuh kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan, teknologi, kejuruteraan dan logistik global bagi meningkatkan kebolehpercayaan armada serta daya tahan rantaian bekalan.
Kerjasama yang diumumkan sempena MRO Asia-Pacific 2026 di Singapura itu melibatkan Thales, Airbus Flight Hour Services (FHS), Air France Industries KLM Engineering & Maintenance (AFI KLM E&M), The Boeing Company, Collins Aerospace, CEVA Logistics dan Batik Air Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Captain Nasaruddin A. Bakar, berkata industri penerbangan terus berdepan ketidaktentuan harga bahan api serta tekanan kos yang memberi kesan langsung kepada operasi dan prestasi kewangan syarikat penerbangan.
"Fokus kami bukan sekadar mengukuhkan aktiviti penyelenggaraan secara berasingan, tetapi membina platform MRO dan kejuruteraan yang bersepadu serta berdaya tahan untuk kumpulan. Kerjasama ini menggabungkan kepakaran global, keupayaan teknikal dan sokongan rantaian bekalan dengan kekuatan kejuruteraan kami sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pendekatan itu akan membolehkan MAG menyokong operasi syarikat penerbangannya dengan lebih berkesan di samping membuka peluang pertumbuhan baharu dalam perniagaan MRO kumpulan.
MAG berkata kerjasama dengan Thales, Airbus FHS, AFI KLM E&M, Boeing dan Collins Aerospace akan meningkatkan akses Malaysia Airlines kepada sokongan komponen, keupayaan pembaikan, kepakaran teknikal serta pengurusan bahan merentas armadanya.
Inisiatif itu dijangka meningkatkan ketersediaan komponen dan alat ganti kritikal, menyokong perancangan penyelenggaraan serta memperkukuh kecekapan operasi kejuruteraan syarikat penerbangan berkenaan.
Sementara itu, kerjasama dengan CEVA Logistics akan menyediakan sokongan logistik bersepadu bagi komponen pesawat, alat ganti kritikal dan bahan lain bagi memperkukuh daya tahan rantaian bekalan MAG serta memastikan keperluan penyelenggaraan dapat dipenuhi dengan lebih cekap.
Dalam masa sama, MAG turut mengembangkan kerjasama dengan Batik Air Malaysia bagi memperkukuh peranan MAB Engineering Services sebagai penyedia perkhidmatan MRO kepada syarikat penerbangan luar. Menurut MAG, kerjasama itu mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap keupayaan teknikal dan operasi unit kejuruteraan berkenaan.
Secara keseluruhan, tujuh kerjasama strategik tersebut menggabungkan kepakaran industri global dengan kekuatan penyelenggaraan dan kejuruteraan MAG bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan serta menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan dalam sektor penerbangan.