KUALA LUMPUR: Sebanyak 121 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan nilai anggaran RM8 bilion dimeterai sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2026 (MAHA 2026).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata daripada jumlah itu, kira-kira RM4 bilion membabitkan China, manakala selebihnya melibatkan negara-negara lain.
Kerjasama berkenaan merangkumi pembangunan kapasiti, latihan kepada peladang termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain peluang mengeksport produk agromakanan tempatan ke luar negara.
“MAHA Go Global” turut menjadi antara platform penting untuk memperluas pasaran produk tempatan, khususnya ke Asia Barat dan Eropah Timur.
“Sebab itulah kita, antaranya MAHA Go Global termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), kita harap dapat memainkan peranan yang lebih hebat pada masa akan datang supaya barangan keluaran Malaysia, banyak keluaran daripada pengusaha kecil ini boleh dipasarkan ke negara-negara tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.
Mohamad berkata Malaysia mempunyai pelbagai produk berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa termasuk nanas dan durian, dengan permintaan terhadap kedua-dua produk itu masih tinggi di beberapa pasaran luar.
Beliau menjelaskan eksport nanas Malaysia kini telah melebihi RM1 bilion, manakala pasaran durian di China masih mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.
Dalam pada itu, Mohamad menambah tumpuan utama MAHA 2026 adalah kepada penciptaan nilai bagi memastikan hasil pertanian tempatan tidak hanya dijual dalam bentuk mentah, sebaliknya diproses menjadi produk hiliran yang mempunyai nilai lebih tinggi.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi mengelakkan Malaysia mengeksport bahan mentah sebelum mengimport semula produk yang telah diproses di negara luar.
Sementara itu, Mohamad berkata sektor pertanian turut menunjukkan perkembangan positif dalam sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan kementerian menyasarkan peningkatan lebih tinggi tahun ini.
Beliau berkata usaha memperkukuh eksport perlu dipertingkatkan bagi mengimbangi nilai import agromakanan negara yang kini melebihi RM80 bilion.
“Kita tidak mahu kita import terlalu besar lebih RM80 bilion tapi (nilai eksport) barangan rendah. Sekarang kita pertingkatkan eksport itu. Ini yang kita usahakan melalui MAHA ini,” ujarnya.
MAHA 2026 turut disertai 14 negara seperti Amerika Syarikat (SS), Rusia, China, Jepun, Korea Selatan, Brazil, Kenya, Uzbekistan, Denmark, Hungary, Belanda, Sepanyol, Thailand serta Palestin.
MAHA 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini, mengetengahkan usaha pemodenan sektor pertanian menerusi teknologi serta inovasi selaras tema "Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan".