Skip to main content

Bisnes

MAHA 2026: Agrobank pacu keterjaminan makanan melalui RM1.21 billion dana pembiayaan

Sumber: AGROBANK
Dari kiri: Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin bersama Datuk Mohamad Khairil Mohamad Razi selepas sesi penyerahan simbolik replika cek. - Foto Agrobank
Advertisement

SERDANG: Agrobank terus memperkukuhkan industri keterjaminan makanan dan agromakanan negara dengan menawarkan kira-kira RM1.21 bilion dana pembiayaan menerusi tiga dana berasingan yang bakal memberi manfaat kepada usahawan tempatan.

Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA) 2025 mempunyai peruntukan keseluruhan RM200 juta bagi tempoh 2025 hingga 2026 dengan pembiayaan antara RM50,000 hingga RM5 juta bagi setiap pemohon serta meliputi modal tetap dan modal kerja untuk aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pengedaran dan pemasaran.

Agrobank turut menerima RM10 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di bawah Dana Pembiayaan Pertanian untuk Pelaburan (D3P) bagi menyokong pembangunan projek ladang kontrak agromakanan.

Menerusi D3P, pembangunan ladang dilaksanakan berdasarkan model pengurusan menyeluruh atau End-to-End, meliputi pemilihan peserta, pembekalan input, bimbingan dan pemantauan sehingga pengeluaran serta pemasaran hasil.

Image
Sumber: AGROBANK
Agrobank memperluas sokongan pembiayaan kepada sektor agromakanan menerusi RM200 juta bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). - Foto Agrobank

Pada masa sama, Dana Keterjaminan Agromakanan (DKA) dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030 menyediakan akses pembiayaan kepada usahawan tani dan syarikat merentasi keseluruhan rantaian nilai agromakanan, daripada aktiviti huluan hingga hiliran.

Agrobank memperluas sokongan pembiayaan kepada sektor agromakanan menerusi pelbagai dana dan kerjasama strategik, termasuk fasiliti perdagangan RM200 juta bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Langkah itu membabitkan pembiayaan bagi pembangunan infrastruktur, modal kerja, penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi serta peningkatan kapasiti, selaras usaha meningkatkan produktiviti dan keterjaminan makanan negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata kerjasama dengan PKPS akan menyokong beberapa pelan strategik pembangunan agromakanan dan sektor pertanian di Selangor sehingga 2030.

Menurutnya, antara bidang yang diberi tumpuan ialah pembangunan logistik, industri ternakan ayam dan akuakultur serta aktiviti hiliran.

“Kita telah memeterai satu memorandum persefahaman sejumlah RM200 juta bagi pembiayaan kepada PKPS, Pertanian Negeri Selangor untuk memajukan agromakanan dan sektor pertanian di Negeri Selangor, merangkumi beberapa pelan-pelan strategik yang akan dilaksanakan daripada tahun ini hingga 2030.

“Ini adalah bertepatan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk meningkatkan produktiviti dan penghasilan makanan untuk memenuhi bekalan makanan negara.

“Kita ada peluang-peluang yang kita berikan untuk modernisasi dan otomasi khususnya IOT bagi meningkatkan kecepatan produktiviti di dalam bidang pertanian.

“Kita ada juga program-program lain seperti mikro dan RM10 juta telah disalurkan juga melalui Agrobank untuk pembangunan kontrak perladangan di mana pengusaha-pengusaha ataupun sesiapa yang berminat terutama golongan B40 ataupun golongan asnaf dan pelajar yang ingin mencuba ceburi bidang pertanian,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS, di sini, pada Sabtu.

Image
Sumber: AGROBANK
Dana Keterjaminan Agromakanan (DKA) dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030 menyediakan akses pembiayaan kepada usahawan tani dan syarikat merentasi keseluruhan rantaian nilai agromakanan. - Foto Agrobank

Kerjasama Agrobank dan PKPS itu dimeterai menerusi penyerahan simbolik replika cek oleh Tengku Ahmad Badli Shah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Mohamad Khairil Mohamad Razi dan disaksikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.

Sebagai langkah awal, fasiliti perdagangan RM200 juta itu akan menyokong pembinaan Gudang Makanan Berstatus Halal Selangor sebagai pusat penyimpanan dan logistik strategik bagi menyokong keperluan rantaian bekalan makanan negeri.

Kemudahan berkenaan turut merangkumi pembangunan Pusat Pemprosesan Ayam Halal, Pusat Pemprosesan Produk Ehsan serta pembinaan dan naik taraf gudang pusat pengedaran bagi meningkatkan keupayaan pengedaran bahan makanan ke seluruh daerah di Selangor.

Dalam masa sama, Agrobank turut menyokong pembangunan produk makanan sedia dimakan dan sedia dipanaskan di bawah jenama Ehsan, penyelidikan pertanian pintar menerusi Pusat Penyelidikan Pertanian Ehsan serta pembangunan modal insan melalui Pusat Latihan Pertanian Ehsan.

Image
Sumber: AGROBANK
DPA 2025 mempunyai peruntukan keseluruhan RM200 juta bagi tempoh 2025 hingga 2026 dengan pembiayaan antara RM50,000 hingga RM5 juta bagi setiap pemohon. - Foto Agrobank

Selain kerjasama bersama PKPS, Agrobank pada MAHA 2026 turut menyerahkan pembiayaan DPA 2025 berjumlah RM41.82 juta kepada 10 penerima bagi menyokong keperluan modal, pengembangan perniagaan dan penggunaan agroteknologi.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli Shah berkata DKA dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 500 usahawan tani dan syarikat, dengan purata nilai pembiayaan RM2 juta bagi setiap penerima.

Beliau menambah, sokongan Agrobank tidak hanya tertumpu kepada pembiayaan, malah merangkumi usaha membantu pemain industri meningkatkan kapasiti operasi, mengadaptasi teknologi, memperluas pasaran dan meningkatkan piawaian perniagaan.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi membolehkan pengusaha meningkatkan produktiviti serta daya saing, selain memastikan pembiayaan yang disalurkan memberi impak kepada keseluruhan rantaian nilai agromakanan.

Image
Sumber: AGROBANK
D3P merangkumi pembangunan ladang yang dilaksanakan berdasarkan model pengurusan menyeluruh atau End-to-End, meliputi pemilihan peserta, pembekalan input, bimbingan dan pemantauan sehingga pengeluaran serta pemasaran hasil. - Foto Agrobank

Keseluruhan inisiatif berkenaan selari dengan tema MAHA 2026, “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” dengan tumpuan kepada pelaburan mampan, pemodenan teknologi serta peningkatan kapasiti dan modal kerja daripada peringkat pengeluaran hingga pengedaran pasaran.

Kerjasama strategik Agrobank dan PKPS pula dijadualkan berkuat kuasa secara rasmi mulai Mac 2027, sebagai antara usaha mempertingkat keupayaan rantaian bekalan makanan Selangor serta menyokong agenda keterjaminan makanan negeri.

Must Watch Video

Advertisement