KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan bahawa rangkaian lapangan terbangnya mengakhiri 2022 dengan nota positif apabila merekodkan 83.9 juta penumpang atau 59.4 peratus lebih baik berbanding paras 2019.

MAHB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata angka itu menandakan tahun penuh pertama pemulihan trafik sejak penutupan sempadan pada Mac 2020.

Hasil pemulihan trafik telah disokong oleh kadar vaksinasi yang lebih tinggi dan keberkesanannya diikuti keyakinan pengembara untuk melancong, pelonggaran sekatan perjalanan terutamanya bagi rantau Asia, penyambungan semula operasi syarikat penerbangan termasuk pengenalan beberapa laluan baharu.

"Pergerakan penumpang Malaysia menunjukkan prestasi yang baik pada 2022 apabila merekodkan 52.7 juta penumpang serta mencapai 50.0 peratus daripada paras 2019.

"Pembukaan semula sempadan antarabangsa mulai 1 April 2022 merupakan pencapaian penting bagi Malaysia dan sejajar dengan negara-negara lain di rantau ini dalam melonggarkan sekatan perjalanan," kata MAHB.

Trafik penumpang antarabangsa mencecah 47.7 peratus serta pergerakan penumpang domestik menokok sebanyak 70.1 peratus pada 2019 dengan masing-masing 32.2 juta dan 51.6 juta penumpang.

Disember 2022 mencatatkan pergerakan penumpang bulanan tertinggi sejak Februari 2020 dengan 9.5 juta penumpang, mencapai 74.0 peratus daripada paras 2019.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SGIA) menutup tahun berkenaan dengan 31.2 juta trafik penumpang, bersamaan 86.7 peratus berbanding paras 2019 selepas disokong oleh kelonggaran sekatan perjalanan di rantau tersebut.

Penumpang antarabangsa di SGIA bertambah 75.1 peratus dengan 15.7 juta penumpang.

"Perlu diperhatikan bahawa pergerakan penumpang antarabangsa telah melepasi paras 2019, mencatatkan pertumbuhan 10.4 peratus dalam tempoh yang sama pada 2019," katanya.

Secara keseluruhan, pergerakan kargo rangkaian lapangan terbang kekal berdaya tahan bagi 2022, mencatatkan pertumbuhan 3.6 peratus kepada 1,063 tan menjelang 2021, kata MAHB.

Kargo domestik merekodkan kenaikan dua digit sebanyak 11.3 peratus untuk 2021 kepada 302,229 tan, manakala trafik kargo antarabangsa menyaksikan pertumbuhan 0.9 peratus kepada 760,931 tan.

Pengumuman baru-baru ini mengenai pembukaan semula sempadan China juga memberikan keyakinan lanjut untuk pertumbuhan yang lebih baik dalam sektor antarabangsa pada 2023, katanya.

-- BERNAMA