[TERKINI] Polis Tahan Pengasas eHati dan Suami Susulan Dakwaan Program Motivasi Rumah Tangga Songsang – Ikuti Perkembangan Di Sini
BISNES

MAHB sedia naik taraf KLIA capai kedudukan lebih tinggi di peringkat global

Dagang News 14/07/2025 | 23:50 MYT
Abd Hasman berkata, MAHB akan terus membuat pelbagai lagi penambahbaikan penting untuk menguruskan peningkatan jumlah penumpang, dengan tidak menetapkan sebarang had perbelanjaan. - Foto MAHB/DagangNews
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersedia menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) agar memperoleh kedudukan tinggi di peringkat global.


Ringkasan AI
  • MAHB berhasrat menaik taraf KLIA untuk meningkatkan keselesaan, kebolehcapaian dan pemprosesan penumpang bagi mencapai kedudukan lebih tinggi di peringkat global.
  • Pelbagai kemudahan baharu diperkenalkan, termasuk bilik air moden, tempat letak kereta keluarga, troli dan kerusi roda dinaik taraf, serta taman permainan kanak-kanak, dengan perbelanjaan RM30 juta pada separuh pertama 2025.
  • KLIA kini fokus memperbaiki kedudukan antarabangsa, selepas hanya berada di tangga ke-71 dalam senarai 100 Lapangan Terbang Terbaik Dunia Skytrax 2024, berbanding pencapaian 10 teratas yang pernah diraih sebelum ini.


Pengurus Besar Operasi Terminal 1, Abd Hasman Abd Muhimim berkata, langkah itu bakal meningkatkan keselesaan penumpang, kebolehcapaian dan kelajuan pemprosesan di pintu masuk antarabangsa utama.

Kemudahan baharu itu juga katanya, termasuk tempat letak kereta keluarga, troli bagasi dan kerusi roda yang dinaik taraf selepas ia membelanjakan sebanyak RM30 juta pada tempoh separuh pertama 2025.

"Kami sangat komited menjadikan KLIA sebagai lapangan terbang pilihan dan hab transit utama bagi penumpang yang menyambung ke destinasi lain," katanya ketika bersama media di terminal tersebut.

Ini termasuk tempat duduk awam, bilik air bersepadu, bilik penukaran lampin bayi bertema, lorong pemeriksaan keselamatan yang dipertingkatkan dan pusat pemeriksaan pas masuk imbasan sendiri.

Penambahbaikan lain ialah kaunter imigresen keutamaan yang diperluaskan, paramedik e-skuter, dinding bertemakan warisan, laluan aerotrain dipertingkatkan dan taman permainan kanak-kanak baharu.

MAHB tambah Abd Hasman, akan terus membuat pelbagai lagi penambahbaikan penting untuk menguruskan peningkatan jumlah penumpang, dengan tidak menetapkan sebarang had perbelanjaan.

Setakat tahun ini, trafik penumpang di Terminal 1 telah berkembang hampir 12 peratus dan syarikat berkenaan kata beliau, kini menyasarkan untuk meningkatkan pula kedudukan antarabangsa KLIA.

"Kami yakin peningkatan perkhidmatan akan meningkatkan kedudukan ASQ (Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang) dan kami sangat komited untuk menaikkan ranking Skytrax kami tahun ini," tambahnya.

KLIA telah disenaraikan sebagai antara 10 buah lapangan terbang terbaik di dunia menerusi tinjauan ASQ 2024 untuk lapangan terbang yang mengendalikan lebih 40 juta penumpang pada setiap tahun.

Bagaimanapun, lapangan terbang berusia 27 tahun itu menduduki tempat ke-71 dalam 100 Lapangan Terbang Teratas Dunia Skytrax 2024, iaitu turun empat anak tangga daripada tahun sebelumnya.

Sebelum ini, KLIA mencapai 10 teratas empat kali dalam ranking Skytrax bermula tempat kedua pada 2001 sebelum kelima (2010), kesembilan (2011) dan kepada kelapan (2012). - DagangNews.com







#KLIA #MAHB #naik taraf #Abd Hasman Abd Muhimim