KUALA LUMPUR:Malaysia Airlines memperkenalkan MH EDGILE, program meningkatkan kemahiran dan latihan semula yang terbuka kepada lebih 2,000 pekerja yang terjejas oleh rangkaian dan kapasiti operasi yang berkurangan pada masa ini.

Syarikat induknya, Malaysia Aviation Group (MAG) berkata pekerja itu terdiri daripada juruterbang, kru kabin dan komuniti barisan hadapan yang lain.

"Program itu menawarkan peluang kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran dan dilatih semula untuk kecekapan pekerjaan lain sama ada dalam kecekapan khusus seperti pengurusan kemudahan dan audit atau bidang am dan boleh dilatih seperti jualan dan meja bantuan IT," menurut MAG dalam kenyataan hari ini.

Program itu membolehkan pekerja syarikat penerbangan nasional itu memberikan kepakaran dan perkhidmatan mereka untuk menyokong kemampanan perniagaan jangka panjang syarikat itu, dan mengkaji ruang baharu untuk berkembang dan membangunkan potensi mereka dalam MAG.

MAG berkata tertakluk kepada kelulusan, kumpulan pekerja ini akan ditugaskan semula secara sementara untuk membantu jabatan lain yang memerlukan tenaga kerja untuk jawatan kritikal atau fungsi pekerjaan akibat daripada kekangan tenaga kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG Kapten Izham Ismail berkata dengan pandemik masih menunjukkan peningkatan, memaksa beberapa syarikat penerbangan untuk menghentikan operasi dan hampir semua pesawat tidak digunakan, penting kepada kumpulan untuk menyediakan tenaga kerjanya dengan kemahiran baharu untuk menjadi lebih cekap dalam peranan semasa mereka atau beralih kepada kedudukan baharu selain menyokong matlamat perniagaan.

BACA: "Malaysia Airlines sudah tidak boleh dibaiki" - Pakar

BACA: 
Terpulang kepada Khazanah untuk selesai masalah Malaysia Airlines - Tengku Zafrul

"Ini merupakan masa yang sesuai untuk kakitangan menaik taraf diri mereka," katanya.

Menurut beliau, inisiatif ini ditawarkan secara sukarela dan tertakluk kepada prasyarat pekerjaan dan kriteria pemilihan jabatan yang menerima.

Semua tugasan akan dilakukan secara sepenuh masa; bagaimanapun, pekerja masih dibenarkan untuk mengekalkan kesahihan lesen pekerjaan mereka.

Tempoh tugasan sementara akan bergantung kepada keperluan perniagaan dan operasi syarikat, menurut MAG.

Pekerja dengan permohonan yang diluluskan akan dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran baharu melalui bimbingan dan latihan sebagai persediaan kepada jawatan baharu.

Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Malaysia Airlines Bhd Datuk Mohd Khalis Abdul Rahim berkata syarikat penerbangan dalam usaha mentransformasikan pekerja MAG kepada tenaga kerja masa depan yang dapat disesuaikan dengan cabaran baharu dan bersedia dalam dunia pasca COVID-19.

"Di MAG, kami amat percaya dalam membangunkan tenaga kerja dan mewujudkan budaya peningkatan yang berterusan untuk memacu kemampanan perniagaan jangka panjang kumpulan.

"Kami menerapkan budaya kerja Lean and Agile dan pendigitalan secara serentak untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan dalam norma baharu. Oleh itu, meningkatkan kualiti kerja dan pembelajaran adalah teras kepada kejayaan," katanya.

-- BERNAMA