KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines akan meningkatkan kekerapan penerbangannya ke dan dari Tokyo, Jepun dari dua kali seminggu kepada tiga kali seminggu ke laluan terbaharunya iaitu Haneda (HND), dan dari lima kali seminggu kepada penerbangan harian ke laluan Narita (NRT) mulai 1 Nov, 2022.

Langkah itu dibuat susulan jangkaan dalam lonjakan permintaan berikutan pembukaan semula sempadan Jepun kepada pengembara antarabangsa, kata Malaysia Airlines dalam satu kenyataan hari ini.

Di samping itu, ia berkata kekerapan syarikat penerbangan itu ke Osaka (KIX) telah meningkat dari tiga kali kepada lima kali seminggu sejak Oktober 2022.

Penerbangan MH36 dari Kuala Lumpur (KUL) ke HND berlepas pada pukul 3 petang, dan penerbangan MH37 berlepas dari HND pada 12:30 pagi waktu tempatan; MH88 dari KUL ke NRT berlepas pada 11:35 malam dan MH89 berlepas dari NRT pada 10:05 pagi waktu tempatan. MH52 berlepas dari KUL ke KIX pada 10:40 malam dan MH53 berlepas dari KIX ke KUL pada 9:55 pagi waktu tempatan.

"Laluan ini akan menggunakan pesawat utama Malaysia Airlines iaitu A350 atau pesawat A330 yang canggih," katanya.

Pesawat A350 dilengkapi dengan empat tempat duduk suite perniagaan, 35 tempat duduk kelas perniagaan, 27 tempat duduk kelas ekonomi dengan ruang kaki tambahan dan 220 tempat duduk kelas ekonomi yang mewakili keseluruhan 286 tempat duduk dalam penerbangan itu.

Pesawat A330 dilengkapi dengan 290 tempat duduk, terdiri daripada 27 tempat duduk kelas perniagaan, 16 kelas ekonomi dengan ruang kaki tambahan dan 247 tempat duduk dalam kelas ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Izham Ismail berkata, syarikat penerbangan itu mendapati terdapat peningkatan dalam tempahan hadapan bagi penerbangan ke Haneda selepas melancarkan penerbangan dua kali seminggu pada Ogos tahun ini.

"Sudah tiba masanya untuk meningkatkan kekerapan sekarang bagi menampung lonjakan permintaan daripada penumpang untuk perjalanan ke Jepun, berikutan pembukaan sempadan negara itu kepada pengembara perniagaan dan percutian.

"Operasi kami ke Osaka juga telah mendapat permintaan yang baik, dengan kapasiti semasa pada 70 peratus daripada tahap prapandemik.

"Kami berharap perkhidmatan tambahan kami di laluan Haneda, Narita dan Osaka akan membina semula trafik dengan cepat di antara kedua-dua negara dan merangsang pertumbuhan dalam perniagaan serta perdagangan.

"Peningkatan dalam kekerapan akan memudahkan pemulihan kapasiti syarikat penerbangan ini kepada lebih 70 peratus di tahap prapandemik di samping pemulihan destinasi antarabangsa yang berprestasi tinggi seperti London, Australia, New Zealand dan India," kata Izham.

-- BERNAMA