PUTRAJAYA: Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini memberi jaminan bahawa Malaysia berada di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi antara 5.3 dan 6.3 peratus tahun ini dan menyifatkan cakap-cakap mengenai kemelesetan global sebagai "terlalu awal dan suatu yang tidak sepatutnya".

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia akan disokong oleh dasar fiskal pengembangan kerajaan serta dasar monetari akomodatif.

Tengku Zafrul berkata Malaysia dijangka menyaksikan momentum pertumbuhan selanjutnya pada suku kedua selepas merekodkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar kukuh pada 5.0 peratus bagi suku pertama tahun ini.

"Bagaimanapun, kita tetap berhati-hati dengan sebarang potensi negatif. Terdapat potensi risiko (disebabkan) oleh perang di Ukraine, harga komoditi tinggi dan dasar moneteri global yang diperketatkan. Sehubungan itu kerajaan perlu memastikan fleksibiliti fiskal yang mencukupi pada masa depan bagi menangani risiko seumpama itu.

"Itulah sebabnya mengapa kita berhasrat untuk mengurangkan secara beransur-ansur defisit fiskal daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada 6.0 peratus pada 2022 dan juga merasionalkan subsidi menjadi lebih bersasar," katanya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Kementerian Kewangan hari ini.

Tengku Zafrul berkata kegagalan untuk memenuhi obligasi hutang merupakan risiko utama bagi negara-negara sekiranya berlaku kemelesetan global tetapi ia bukan risiko bagi Malaysia kerana risiko itu dapat dikurangkan berikutan pendedahan rendahnya kepada hutang luaran, dengan kurang daripada 3.0 peratus dalam mata wang asing.

Menurutnya, Malaysia mempunyai kecairan yang mencukupi untuk membiayai keperluan pinjaman kerajaan dan sektor swasta.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kementerian tersebut sedang mencari jalan untuk melaksanakan subsidi bersasar.

"Kita buat telah buat sesi libat urus dgn pihak berkepentingan dan akan bawa ke Kabinet dalam masa terdekat," katanya dan menambah pemberian subsidi kini adalah menyeluruh dan memberi manfaat semua orang termasuk golongan kaya.

"Golongan kaya menikmati lebih subsidi berdasarkan penggunaan yang lebih besar. Satu contoh adalah sebahagian besar daripada subsidi petrol berjumlah RM4 bilion setakat Mac 2022 ini sebenarnya dinikmati oleh golongan T20.

"Setiap RM1subsidi bahan api, 53 sen pergi ke golongan T20 manakala hanya 15 sen dimanfaatkan oleh golongan B40," tambahnya.

-- BERNAMA