BISNES
Malaysia catat inflasi keseluruhan 1.4 peratus, teras 2.2 peratus pada November - BNM
BNM berkata peningkatan itu sebahagiannya didorong oleh harga rokok lebih tinggi berikutan kenaikan duti eksais dan harga makanan di rumah. - Gambar hiasan/Unsplash
KUALA LUMPUR: Inflasi keseluruhan Malaysia meningkat sedikit kepada 1.4 peratus pada November 2025 daripada 1.3 peratus pada bulan sebelumnya, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam Sorotan Bulanan bagi November 2025 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat itu berkata peningkatan itu sebahagiannya didorong oleh harga rokok lebih tinggi berikutan kenaikan duti eksais dan harga makanan di rumah, terutama daging dan ikan segar.
Bagaimanapun, BNM berkata inflasi teras kekal tidak berubah pada 2.2 peratus dan pengiraan inflasi teras ini tidak melibatkan barangan yang harganya tidak menentu seperti makanan dan bahan api.
"Inflasi teras kekal stabil, mencerminkan tekanan harga asas yang berterusan. Inflasi yang lebih tinggi bagi perkhidmatan komunikasi mudah alih dan kenderaan bermotor pula diimbangi oleh inflasi lebih rendah bagi barangan kemas dan jam tangan serta perkhidmatan audio visual," katanya.
Dari sudut pengeluaran, BNM berkata Indeks Pengeluaran Industri Perkilangan telah mencatat pertumbuhan lebih tinggi iaitu sebanyak 6.5 peratus pada Oktober 2025 berbanding 5 peratus pada September 2025.
"Selain itu, kelompok berorientasikan dalam negara turun kepada 4.9 peratus daripada 5.3 peratus pada September 2025, disokong oleh pertumbuhan mantap dalam makanan dan minuman serta farmaseutikal, seterusnya mengimbangi penguncupan dalam pengeluaran kenderaan bermotor," katanya.
Menurut BNM, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.5 peratus pada November 2025 yang turun sedikit daripada 5.7 peratus pada Oktober 2025, disokong oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang stabil.
"Pertumbuhan pinjaman perniagaan kekal sederhana kepada 5 peratus berikutan pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) manakala pertumbuhan pinjaman dalam kalangan bukan PKS meningkat, khususnya bagi tujuan berkaitan pelaburan," katanya.
Pada masa sama, pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 5.7 peratus berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan dan merentasi kebanyakan tujuan.
Bagi kestabilan kewangan, bank pusat itu berkata sistem perbankan terus mencatat penampan aset mudah tunai yang kukuh dengan agregat nisbah perlindungan mudah tunai sebanyak 145.6 peratus berbanding 147.5 peratus pada Oktober 2025.
Nisbah pinjaman terjejas kasar kekal stabil pada 1.4 peratus manakala nisbah pinjaman terjejas bersih mencatatkan sedikit peningkatan kepada 1.0 peratus berikutan peruntukan dicatatkan yang lebih rendah.
"Pasaran kewangan domestik dipengaruhi oleh jangkaan pasaran yang berubah sepanjang November terhadap pelonggaran dasar monetari selanjutnya oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat," katanya.
Menyentuh ringgit, bank pusat itu berkata mata wang tempatan itu menokok nilai sebanyak 1.5 peratus berbanding dolar AS pada November manakala indeks petunjuk utama FBM KLCI turun sebanyak 0.3 peratus susulan aliran keluar ekuiti asing bersih.
-- BERNAMA