KUALA LUMPUR: Lebihan dagangan Malaysia pada Mac 2023 meningkat kepada RM26.69 bilion berbanding Mac 2022, menandakan lebihan dagangan yang ke-35 bulan berturut-turutsejak Mei 2020 dan nilai tertinggi yang direkodkan bagi bulan Mac.

Perdagangan pada bulan ini bagaimanapun mengurang 1.6 peratus kepada RM232.72 bilion, manakala eksport berjumlah RM129.71 bilion, menyusut 1.4 peratus dan import menurun 1.8 peratus kepada RM103.01 bilion.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.5 peratus, 15.5 peratus, 11.1 peratus dan 36.4 peratus berbanding Februari 2023.

Perdagangan bagi suku pertama (S1) 2023 berkembang 3.2 peratus kepada RM644.87bilion berbanding S1 2022, manakala eksport meningkat 2.8 peratus kepada RM354.63 bilion danimport naik 3.7 peratus kepada RM290.24 bilion, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai yang tertinggi bagi tempoh itu. Bagaimanapun, bagi tempoh yang sama lebihan dagangan menurun satu peratus kepada RM64.39 bilion.

Eksport barangan perlombongan yang berjumlah lapan peratus daripada jumlah perdagangan atau RM10.4 bilion, menurun 3.5 peratus tahun ke tahun berikutan pengurangan eksport petroleum kondensat dan minyak petroleum lain, manakala eksport keluaran pertanian yang berjumlah 7.3 peratus daripada jumlah perdagangan atau RM9.43 bilion, jatuh 10.8 peratus berikutan penurunan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Peningkatan eksport pula dicatatkan untuk gas asli cecair (LNG).

MITI berkata, pada Mac 2023, perdagangan dengan Asean mewakili 27.9 peratus atau RM64.84 biliondaripada jumlah perdagangan Malaysia, menyusut 1.4 peratus tahun ke tahun.

Bagaimanapun, peningkatan eksport telah direkodkan bagi keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan serta kelengkapan pengangkutan.

Sebaliknya, import dari Asean berkembang sebanyak 1.6 peratus kepada RM26.86 bilion.

Eksport ke pasaran utama Asean yang mencatatkan peningkatan ialah Singapura, yang meningkat RM615.3 juta dan Indonesia, berkembang sebanyak RM738.9 juta disebabkan oleh eksport produk petroleum yang memberangsangkan.

Pertambahan eksport walau bagaimanapun, telah direkodkan bagi bijih logam dan serpihan logam, kimia dan bahan kimia serta LNG. Import dari China menyusut 0.3 peratus kepada RM21.16 bilion.

Perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) pada Mac 2023 yang merangkumi 9.5 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 5.2 peratus tahun ke tahun kepada RM22.05 bilion. Eksport berkembang 7.5 peratus kepada RM14.59 bilion dan import dari AS naik 1 peratus kepada RM7.46 bilion.

Perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang merangkumi 8.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 6.1 peratus tahun ke tahun kepada RM19.41 bilion.

Sementara itu, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang menyumbang 67.5 peratus atau RM157.18 bilion kepada jumlah perdagangan Malaysia menurun secara marginal sebanyak 0.9 peratus tahun ke tahun.

Eksport ke rakan dagang FTA jatuh 1.5 peratus kepada RM89.48 bilion dan import menguncupsebanyak 0.1 peratus kepada RM67.7 bilion, kata MITI.

Bagi import, barangan pengantara, bernilai RM53.81 bilion atau 52.2 peratus daripada jumlah import, menurun 8.7 peratus pada Mac 2023; barangan modal, bernilai RM9.77 bilion (9.5 peratus), meningkat 3.5 peratus; dan barangan penggunaan, bernilai RM9.26 bilion (sembilan peratus), naik 6.2 peratus.

-- BERNAMA