Skip to main content

Bisnes

Malaysia kekal peneraju pembangunan kewangan Islam global 14 tahun berturut-turut

Abdul Rasheed berkata pencapaian tersebut mencerminkan usaha berterusan negara selama empat dekad dalam membangunkan ekosistem kewangan Islam yang komprehensif dan progresif. - Bernama
Abdul Rasheed berkata pencapaian tersebut mencerminkan usaha berterusan negara selama empat dekad dalam membangunkan ekosistem kewangan Islam yang komprehensif dan progresif. - Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran kewangan Islam dunia dalam laporan Indeks Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2026 bagi tahun ke-14 berturut-turut, di tengah-tengah pertumbuhan sembilan peratus pasaran kewangan Islam global kepada AS$6.5 trilion (AS$1 = RM4.07).

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pencapaian tersebut mencerminkan usaha berterusan negara selama empat dekad dalam membangunkan ekosistem kewangan Islam yang komprehensif dan progresif.

"Melangkah ke hadapan, Bank Negara Malaysia kekal komited untuk terus bekerjasama dengan pihak industri serta rakan kami bagi memacu inovasi di samping memastikan kewangan Islam terus memberikan impak yang bermakna kepada ekonomi dan masyarakat," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai laporan tersebut.

Laporan bertajuk ‘Growth Amid Headwinds’, (Pertumbuhan di Tengah-tengah Cabaran) meletakkan Malaysia di kedudukan pertama dalam kalangan 140 negara yang dinilai menggunakan data 2025, dengan skor IFDI keseluruhan sebanyak 136, berbanding 113 bagi Arab Saudi dan 95 bagi Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Indonesia dan Pakistan melengkapkan senarai lima teratas dengan masing-masing mencatatkan skor 80 dan 74, sekali gus mengukuhkan penerajuan Malaysia dalam landskap kewangan Islam global yang semakin kompetitif.

Malaysia, Arab Saudi, UAE, Indonesia dan Pakistan mengekalkan kedudukan masing-masing sebagai pasaran kewangan Islam termaju di dunia.

Negara-negara ini terus meraih manfaat daripada rangka kerja kawal selia yang komprehensif, pembangunan kukuh institusi, pasaran kewangan aktif dan ekosistem pengetahuan yang mantap.

Menurut laporan yang diterbitkan oleh London Stock Exchange Group (LSEG) dengan kerjasama Islamic Corporation for the Development of the Private Sector (ICD) itu, di luar kelompok lima negara teratas tersebut beberapa negara dilihat mencatatkan peningkatan ketara termasuk Türkiye, Tanzania, Kenya, Benin, Azerbaijan dan Uzbekistan.

“Ini mencerminkan dinamisme yang semakin meningkat dalam pasaran yang telah mapan mahupun pasaran sedang pesat membangun,” maklum laporan itu.

Menurut laporan itu, prestasi kukuh Malaysia disokong oleh ekosistem kewangan yang komprehensif, rangka kerja kawal selia mantap, serta penerajuan dalam kewangan Islam yang mampan.

Malaysia mencatatkan skor 150 bagi prestasi kewangan, 98 bagi tadbir urus dan 156 bagi kelestarian, sekali gus meletakkannya di kedudukan pertama di peringkat global dalam ketiga-tiga kategori tersebut.

Negara juga memperoleh skor maksimum 200 bagi aspek kesedaran, serta menduduki tempat kedua dalam pembangunan pengetahuan dengan skor 87.

Dari segi saiz pasaran, Malaysia kekal sebagai pasaran kewangan Islam ketiga terbesar di dunia, dengan jumlah aset bernilai AS$862 bilion pada 2025, di belakang Iran yang mencatatkan AS$2.19 trilion dan Arab Saudi AS$1.47 trilion.

Laporan tersebut turut mengetengahkan rancangan Malaysia untuk terus memperkukuh sektor ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030), termasuk meningkatkan kesalinghubungan kewangan rentas sempadan, memajukan kewangan Islam yang berkait dengan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta mempercepat pendigitalan.

Malaysia juga mengekalkan kedudukan utamanya dalam pasaran sukuk global, dengan nilai sukuk terkumpul berjumlah AS$359 bilion pada penghujung 2025, hanya sedikit di belakang Arab Saudi yang mencatatkan AS$369 bilion.

Menurut laporan itu, kemajuan Malaysia dalam kewangan Islam digital termasuk penerbitan sukuk bertoken pertama negara oleh Khazanah Nasional Bhd dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada Mei 2026 yang berjaya mengumpul RM100 juta.

Pada Ogos, Kumpulan CIMB turut melengkapkan satu projek rintis yang melibatkan sukuk wakala bernilai RM1.68 bilion, terdiri daripada RM1.38 bilion sukuk bertoken dan RM300 juta sukuk dalam format konvensional, mencerminkan usaha negara untuk memodenkan infrastruktur pasaran modal Islam.

Di peringkat global, pertumbuhan sebanyak sembilan peratus aset kewangan Islam disokong oleh pertumbuhan perbankan Islam, sukuk, takaful dan dana pelaburan Islam.

Perbankan Islam kekal sebagai segmen terbesar, merangkumi kira-kira 71 peratus daripada aset industri, manakala nilai keseluruhan industri diunjur melebihi AS$10.5 trilion menjelang 2030.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement