KUALA LUMPUR: Ekonomi Digital Islam (IDE) dijangka menjadi salah penyumbang dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menerusi sektor kewangan Islam, halal dan fesyen.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, bagi permulaan sebanyak 15 syarikat diberi pengiktirafan status Malaysia Digital (MD) Tasree iaitu projek perintis di bawah agenda MD Pemangkin menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

"Ini satu sektor sangat menarik, salah satu daripada sembilan teras program MD Pemangkin diusahakan sebelum ini.

"Potensi sektor IDE ini sangat besar, saya percaya pengiktirafan 15 syarikat dengan status MD Tasree yang telah diumumkan hari ini merupakan langkah pertama dan langkah kanan ke arah membangunkan sektor IDE yang lebih mampan dan cergas, berdaya saing dan mampu kita eksport ke peringkat antarabangsa.

"Kita lihat ada tiga sektor utama, sama ada dari segi kewangan, sektor halal dan juga fesyen dan gaya hidup jadi tiga sektor ini kita lihat sangat berpotensi," jelasnya.

Tambahnya kedudukan Malaysia sebagai negara peneraju selama ini, memberi kelebihan buat negara dalam mengembangkan industri IDE.

"Malaysia ketika ini menjadi peneraju utama dalam ekonomi Islam dalam pelbagai bidang. Malah, kerajaan juga ingin melaksanakan pelbagai langkah bagi membolehkan negara terus menjadi teraju utama dalam ekonomi Islam.

"IDE berpotensi menjadi antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kelak," jelasnya  selepas menyempurnakan pelancaran Persidangan Industri Ekonomi Digital Islam 2023 di ibu negara pada Selasa.

Mengulas lanjut kata Fahmi lagi, sektor IDE itu bakal menjadi pelengkap kepada Ekonomi MADANI dalam menggalakkan pembangunan ekonomi digital di negara ini.