BUSINESS
Malaysia komited perbaiki akses pasaran dan daya saing dalam mendepani tarif AS
Mastura Ahmad berkata, Malaysia sedang meneliti insiatif-inisiatif yang boleh ditawarkan untuk membantu mengurangkan defisit perdagangan AS
WASHINGTON: Malaysia sedang meneliti pelbagai langkah dan inisiatif bagi membantu mengurangkan defisit perdagangan Amerika Syarikat (AS), khususnya dalam konteks hubungan dagang dua hala.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Mastura Ahmad Mustafa, tarif timbal balas bertujuan menangani apa yang dilihat sebagai halangan perdagangan terhadap barangan keluaran AS, serta mengurangkan defisit perdagangan negara itu dengan rakan dagang utama.
“Kalau kita tengok objektif kenapa pentadbiran Donald Trump mengenakan tarif timbal balas ini adalah kerana terdapat halangan-halangan perdagangan yang menyebabkan barangan AS sukar untuk masuk ke negara-negara rakan dagang mereka.
“Yang paling utama ialah apabila dikatakan defisit perdagangan,” katanya.
Sehubungan itu, jelasnya, Malaysia sedang meneliti insiatif-inisiatif yang boleh ditawarkan untuk membantu mengurangkan defisit perdagangan AS, termasuk dengan meneliti semula sebarang halangan yang mungkin wujud terhadap kemasukan barangan AS ke pasaran tempatan.
Bagaimanapun, Mastura menegaskan bahawa dari segi tarif, Malaysia mengekalkan kadar purata tarif import pada tahap yang rendah, iaitu sekitar 5.6 peratus sahaja.
Maka jelasnya, ruang untuk berunding dari segi pengurangan tarif itu sebenarnya agak terhad.
“Kita juga akan lihat perkara-perkara lain dan pada masa yang sama kita juga melihat kepada apa yang dikatakan sebagai halangan bukan tarif.
“Halangan bukan tarif ni sebenarnya kalau kita tengok pun dia lebih tertumpu kepada ease of doing business.
“Jadi sebenarnya walaupun kita kata kita tawarkan dekat AS, sebenarnya dia membantu dalam memperkemaskan ataupun memperbaiki ease of doing business dalam negara kita supaya Malaysia lebih kompetitif bukan sahaja dengan AS tetapi juga dengan negara-negara dagang kita yang lain,” tambahnya lagi.
Delegasi Malaysia kini berada di Washington D.C bagi mengadakan pertemuan dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer dan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick pada 24 April.
Tambah Mastura, sepanjang beberapa hari delegasi Malaysia berada di sini, mereka juga telah mengadakan pelbagai pertemuan bersama syarikat-syarikat AS yang mempunyai operasi di Malaysia serta pihak berkepentingan lain bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas mereka.
“Pada masa itulah kita sebenarnya akan membentangkan tawaran-tawaran yang boleh dibuat oleh negara bagi kita mencari penyelesaian kepada perkara ini.
“Apa yang telah kami laksanakan dua tiga hari ini kebanyakannya perjumpaan bersama pihak-pihak atau syarikat-syarikat Amerika Syarikat yang mempunyai anak syarikat di Malaysia.
“Kami ingin mendapatkan the feeling dekat sini terutamanya apabila Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang datang untuk mengadakan perbincangan dan rundingan kerana terdapat beberapa negara lagi telah berada dan masih berada di Washington ini untuk turut membentangkan tawaran masing masing pada AS,” tambahnya lagi.
Jelasnya, pertemuan-pertemuan ini penting bagi memperoleh maklumat yang lebih mendalam kerana sehingga kini, masih belum ada kepastian tentang keputusan yang akan diambil oleh pentadbiran AS apabila tempoh “90 hari penangguhan” tamat pada 9 Julai nanti.