BISNES
Malaysia meterai perjanjian perkongsian ekonomi dengan Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein
Sebagai negara perdagangan, kata Tengku Zafrul, Malaysia perlu mengekalkan pendirian neutral dan berkecuali, terutamanya dalam keadaan geopolitik tidak menentu ketika ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia dan negara anggota Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) memeterai perjanjian perkongsian ekonomi yang membuka lembaran baharu bagi hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata selain Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-EFTA (MEEPA), Putrajaya dan negara anggota EFTA turut menandatangani memorandum persefahaman (MOU) kerjasama dan pembinaan kapasiti serta kenyataan bersama mengenai minyak sawit mampan.
"Sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia perlu mengekalkan pendirian neutral dan berkecuali, terutamanya dalam keadaan geopolitik tidak menentu ketika ini yang merumitkan landskap perdagangan global," kata Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pendirian berkecuali Malaysia juga dicerminkan menerusi pemeteraian MEEPA, yang merupakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) ke-18 negara setakat ini dan merupakan sebahagian daripada usaha untuk mempelbagaikan pasaran di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.
"Sebagai FTA pertama Malaysia dengan beberapa negara Eropah, MEEPA juga dijangka membuka jalan bagi mempercepat rundingan FTA Malaysia-EU.
"Potensi perdagangan yang akan direalisasikan itu akan menyediakan lebih banyak peluang perniagaan untuk syarikat tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, dan menawarkan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia - kedua-duanya penting dalam memacu agenda transformasi ekonomi kami," katanua.
Perjanjian MEEPA itu dimeterai di Tromso, Norway, hari ini oleh Tengku Zafrul dengan Menteri Perdagangan dan Industri Norway Cecilie Terese Myrseth, Menteri Kewangan dan Hal Ehwal Ekonomi Iceland Dadi Mar Kristofersson, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negara, Alam Sekitar dan Kebudayaan Liechtenstein Sabine Monauni dan Naib Presiden dan Ahli Majlis Persekutuan Switzerland Guy Parmelin.
-BERNAMA