Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

Malaysia perkukuh kerjasama ekonomi di Ekspo 2025 Osaka - Tengku Zafrul

Astro Awani 10/08/2025 | 06:45 MYT
Menurut Tengku Zafrul, ekspo ini membuktikan komitmen Malaysia untuk terus berada di pentas dunia. - Foto FB Tengku Zafrul
OSAKA: Penyertaan Malaysia di Ekspo 2025 Osaka menjadi medan penting untuk mempromosi potensi pelaburan, inovasi teknologi dan pencapaian negara di pentas global, selain mengukuhkan hubungan dua hala dengan rakan perdagangan utama.


Ringkasan AI
  • Malaysia Promosi Pelaburan & Teknologi di Ekspo Osaka: Penyertaan Malaysia di Ekspo 2025 Osaka menjadi platform penting untuk mempamerkan potensi pelaburan, inovasi teknologi dan pencapaian negara di peringkat global.
  • Perkukuh Hubungan Dua Hala & Serantau: Delegasi Malaysia mengadakan lawatan ke Pavilion Filipina, China dan Jepun serta mengukuhkan kerjasama strategik, khususnya dengan Jepun dan negara ASEAN.
  • Jenama Malaysia Sebagai Rakan Dagang Diyakini: Malaysia tampil sebagai destinasi pelaburan pilihan dengan kestabilan, kepakaran dan ekosistem kondusif, selaras aspirasi membina masa depan ekonomi yang mampan.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, delegasi Malaysia memulakan lawatan di Pavilion Filipina yang mempamerkan keindahan pulau-pulau negara itu, sebelum ke Pavilion China yang menonjolkan seni bina megah berasaskan gabungan tradisi dan teknologi moden.

Menerusi perkongsian Tengku Zafrul mengenai perkara itu di laman Facebooknnya, beliau berkata, Pavilion China turut dikenali sebagai antara yang terbesar di ekspo berkenaan, menarik ribuan pengunjung setiap hari.

Lawatan diteruskan ke Pavilion Jepun, tuan rumah Ekspo 2025 Osaka, yang menampilkan pelbagai teknologi canggih termasuk inovasi mobiliti pintar dan kelestarian. Delegasi Malaysia turut mengadakan perbincangan bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Jepun, khususnya dalam bidang teknologi, pelaburan bernilai tinggi dan ekonomi hijau.

“Ekspo ini membuktikan komitmen Malaysia untuk terus berada di pentas dunia, bukan sahaja mempamerkan pencapaian kita, tetapi juga membina kerjasama strategik demi kemajuan bersama,” katanya.



Sempena sambutan Hari ASEAN di ekspo berkenaan, Pavilion ASEAN menonjolkan kekuatan kerjasama serantau. Kehadiran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini memberi makna tersendiri, mencerminkan kepimpinan negara dalam memacu integrasi ekonomi dan perdagangan di rantau ini.

Tengku Zafrul berkata, penyertaan aktif Malaysia di Pavilion ASEAN adalah peluang untuk menunjukkan potensi besar negara dalam sektor berteknologi tinggi, tenaga boleh baharu dan ekonomi digital.

“Kita mahu dunia melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan yang menawarkan kestabilan, kepakaran dan ekosistem yang kondusif,” katanya.

Delegasi Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada petugas Pavilion ASEAN atas layanan mesra, serta pasukan MITI yang telah memastikan kelancaran penyertaan negara di Osaka.

Usaha mereka menjadi pemangkin kepada mempromosi jenama Malaysia sebagai rakan dagang dan pelaburan yang diyakini.

Ekspo 2025 Osaka disifatkan sebagai platform strategik untuk memperluas jaringan perniagaan, menjalin kerjasama baharu dan memperkukuh hubungan diplomatik, seiring aspirasi Malaysia untuk membina masa depan ekonomi yang lebih makmur dan lestari.







#Perkukuh ekonomi Malaysia #penghargaan kepada petugas Pavilion ASEAN #destinasi pelaburan pilihan #platform strategik untuk memperluas jaringan