OSAKA: Malaysia terus mengorak langkah sebagai pemain hab halal global dengan menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dua entiti di Jepun pada Khamis bagi memperkukuhkan perdagangan, pelaburan dan pekerjaan berkualiti dalam sektor halal di negara Matahari Terbit.

Kerjasama itu juga sekali gus dapat meningkatkan hubungan dagangan dua hala antara kedua-dua negara dalam industri halal.

Majlis menandatangani MoU pertama melibatkan Halal Development Corporation Berhad (HDC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan AEON Co. (M) Berhad (AEON (M)) bagi mempromosikan produk halal Malaysia di Jepun.

Sementara, HDC turut menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Halal Jepun (JHA) menerusi penandatanganan MoU kedua bagi meningkatkan infrastruktur dan pensijilan halal di negara ini.

HDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Hairol Ariffein Sahari, manakala AEON (M) diwakili Timbalan Pengarah Urusan Tsugutoshi Seko, sementara JHA diwakili Presidennya Hind Hitomi Lemon.

Majlis menandatangani MoU itu yang berlangsung di sini, disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia dan Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun.

Menerusi kerjasama dengan AEON (M), syarikat berkenaan akan menyediakan panduan perniagaan kepada pemain industri halal Malaysia bagi menembusi pasaran Jepun, mempromosi Platform Bersepadu Halal HDC (HIP) dan menganjurkan sesi pembentangan untuk mempromosi produk halal.

HDC juga akan bekerjasama dalam menyediakan program latihan halal untuk pemain industri halal Jepun bagi memudah cara kemasukan mereka ke dalam pasaran halal.

Melalui kerjasama dengan JHA pula, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan modal insan dan perkongsian kepakaran untuk menyelaraskan proses pensijilan halal bagi restoran di Jepun.

HDC dan JHA memberi komitmen untuk mempromosikan aspek integriti halal secara global dan memperkasakan perniagaan tempatan sebagai antara langkah penting ke arah memajukan industri halal dan menyokong komuniti Islam di Jepun dan seluruh dunia.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja tujuh hari ke Jepun, mengetuai delegasi Malaysia bertemu dengan pemain industri halal terkemuka Jepun dalam Sesi Meja Bulat: "Menghubungkan Ekosistem Halal Antara Malaysia dan Jepun bagi Meningkatkan Perdagangan, Pelaburan dan Pekerjaan Berkualiti".

Dalam ucapannya pada sesi itu, Ahmad Zahid berkata melalui pertemuan itu asas yang lebih kukuh telah diletakkan dan lembaran baharu dicatatkan dalam memperkasakan kerjasama berterusan antara Malaysia dan Jepun, terutama ke arah meningkatkan amalan serta piawaian halal antarabangsa.

Beliau berkata perbincangan itu juga menggariskan kepentingan dalam menyelaraskan kerjasama antara pemain industri kedua-dua negara bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap barangan dan perkhidmatan halal dunia yang kini mencatatkan nilai lebih AS$3 trilion.

Beliau berkata walaupun bilangan penduduk beragama Islam di Jepun agak kecil, pasaran halal negara itu tetap mewujudkan peluang besar bagi pertumbuhan serta kerjasama dalam industri halal.

"Sebagai contoh, jumlah eksport Malaysia mencecah RM59.46 bilion pada 2022, dengan eksport halal ke Jepun berjumlah RM3.6 bilion. Angka ini jelas mencerminkan potensi besar boleh diterokai dalam perdagangan sektor halal antara kedua-dua negara," katanya.

-- BERNAMA