KUALA LUMPUR: Malaysia sedang memperkukuh piawaian dan akreditasi sebagai pemacu strategik daya saing ekonomi, keyakinan industri dan akses ke pasaran global, menurut Jabatan Standard Malaysia (JSM).
Agensi itu yang beroperasi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merupakan badan piawaian dan akreditasi kebangsaan.
Ketua Setiausaha MITI Datuk Hairil Yahri Yaacob ketika membacakan ucapan bagi mewakili menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata piawaian dan akreditasi tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai keperluan pematuhan.
“Piawaian dan akreditasi perlu dilihat sebagai aset ekonomi strategik yang meningkatkan keyakinan perniagaan, memudahkan akses pasaran dan menyokong daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global,” katanya bersempena dengan Sidang Kemuncak Standard dan Akreditasi 2026 di sini semalam.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh peranan Malaysia dalam pembangunan piawaian antarabangsa khususnya ketika industri menghadapi kemajuan pesat dalam bidang kecerdasan buatan, pendigitalan, kemampanan, keselamatan siber dan keperluan rantaian bekalan global yang terus berkembang.
Sementara itu, Johari memberitahu, melalui penglibatan berterusan MITI dan JSM dengan pihak industri serta komuniti piawaian antarabangsa, Malaysia dapat memperkukuh keupayaannya iaitu menjangka keperluan pasaran membangun.
Menurutnya, langkah ini akan meningkatkan kesiapsiagaan industri dan membolehkan negara menyumbang secara lebih aktif kepada pembangunan piawaian yang membentuk perdagangan global dan amalan industri.
Dalam pada itu, JSM memberitahu, sidang kemuncak itu menegaskan infrastruktur kualiti Malaysia bukanlah matlamat akhir sebaliknya merupakan asas penting bagi pertumbuhan ekonomi, inovasi, keyakinan pasaran dan daya saing antarabangsa.
“Ketika Malaysia bergerak ke arah ekonomi yang lebih dipacu teknologi, mampan dan saling terhubung dengan pasaran global, piawaian dan akreditasi akan terus menjadi asas penting dalam membina kualiti, kepercayaan dan daya saing,” jelas JSM dalam kenyataan itu.
-- BERNAMA