BISNES
Malaysia perlu beralih kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai - Amir Hamzah

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu beralih kepada pembangunan ekonomi yang berasaskan penciptaan nilai dengan meningkatkan kerencaman ekonomi untuk menaikkan siling, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Ringkasan AI
- Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Malaysia perlu beralih daripada "Made in Malaysia" kepada "Made by Malaysia" dengan fokus kepada industri bernilai tinggi berasaskan teknologi dan inovasi.
- Tumpuan diberikan kepada semikonduktor, tenaga boleh baharu, teknologi digital, agromakanan, ekonomi hijau dan biru serta CCUS sebagai pemacu pertumbuhan baharu.
- Kerajaan sasarkan pertumbuhan KDNK 4.5% hingga 5.5% setahun sepanjang RMK13 melalui pelaburan berkualiti, insentif dan infrastruktur sokongan.
Amir Hamzah berkata keutamaan akan diberi untuk melonjakkan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV)), merangkumi industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi, terutama semikonduktor, peralihan tenaga, serta teknologi dan digital.
"Strategi ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
"Selain itu, subsektor agromakanan dan agrikomoditi akan terus dilonjakkan bagi memastikan keterjaminan makanan dan pengurangan import," katanya.
Mengenai unsur nadir bumi, beliau berkata, ekonomi hijau dan ekonomi biru serta inisiatif pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) akan menjadi sumber baharu pertumbuhan ekonomi.
"Bagi pembangunan sektor strategik berimpak tinggi pula akan ditumpukan kepada usaha untuk memantapkan sektor pelancongan, Di samping itu, industri pengangkutan udara, perkhidmatan global dan kewangan, perdagangan pengedaran, logistik serta sukan juga akan dirancakkan.
"Bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri ini, ekosistem sokongan akan ditambah baik melalui pengukuhan dasar dan tatakelola, penyediaan insentif dan pembiayaan serta pembangunan infrastruktur. Langkah ini akan menyokong pelaburan berkualiti dan penskalaan industri," katanya.
Amir Hamzah berkata kerajaan meletakkan sasaran ekonomi dalam tempoh RMK13 dengan mengambil kira prestasi RMK12 serta perspektif ekonomi dan perdagangan dunia seperti pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negeri Kasar disasarkan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun (RMK12: 5.0 peratus).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami