KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan Malaysia merekodkan 68 dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) berjumlah RM7.7 bilion setakat 31 Dis 2023.

Pengerusinya Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata syarikat dan pelabur semakin memilih kemampanan sebagai pendekatan pelaburan mereka kerana melihat banyak permintaan terhadapnya.

"Di peringkat global, bertrilion dolar telah mengalir ke dalam dana yang memberikan publisiti tentang pendekatan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka.

"Dengan jumlah yang semakin meningkat, terdapat juga kebimbangan berlakunya 'greenwashing' (memanipulasikan maklumat produk mesra alam), 'greenhushing' (menyembunyikan kelayakan ESG) dan 'green bleaching' (meremehkan kelayakan kemampanan dana)," katanya pada Persidangan Tadbir Urus Korporat Majlis Pelabur Institusi Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti Malaysia (IIC-SIDC) 2024, di sini, hari ini.

Dalam ucapan perasmiannya pada persidangan itu, Awang Adek berkata Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa mengetengahkan bahawa 'greenwashing' terus menjadi kebimbangan dalam pasaran yang boleh membawa risiko kepada perlindungan pelabur dan integriti pasaran.

Beliau berkata 'greenwashing' boleh menjejaskan kepercayaan terhadap kewangan mampan.

"Jika pelabur hilang kepercayaan, ia boleh menjejaskan pembiayaan yang diperlukan untuk peralihan yang adil," katanya.

Awang Adek juga menekankan tentang kepentingan tadbir urus yang baik dan kegagalan tadbir urus boleh memberi kesan yang meluas melangkaui kerugian kewangan.

Beliau berkata industri menjangkakan pelabur institusi memainkan peranan yang lebih besar dalam memacu penciptaan nilai yang bertanggungjawab dan mampan dalam syarikat.

Menurutnya, pada 2023, hampir 70 peratus syarikat awam berhad (PLC) melaporkan bahawa penilaian prestasi lembaga pengarah dan pengurusan kanan termasuk penilaian sejauh mana mereka mengurus risiko dan peluang kemampanan syarikat.

Dari sudut penggubal dasar, beliau berkata SC terus membolehkan pengawasan oleh pelabur melalui, antara lain, memastikan terdapat maklumat yang boleh dipercayai tentang kemampanan.

Awang Adek berkata, jumlah aset di bawah kawalan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di Malaysia dianggarkan berjumlah RM1.87 trilion, menjadikan GLIC antara tonggak utama pembangunan sosioekonomi negara.

"Sekiranya pengawasan oleh pemilik dan pengurus aset dapat ditingkatkan, manfaat kepada pelabur dan masyarakat pasti akan meningkat," katanya.

-- BERNAMA