Skip to main content

Bisnes

Malaysia sekali lagi muncul pelabur asing terbesar di Banten Indonesia, labur RM9.81 bilion

Pelaburan Malaysia itu turut diiktiraf semasa Forum Pelaburan Banten 2026 pada Jumaat, apabila negara menerima anugerah Penghargaan Rakan Strategik sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan kepada pembangunan ekonomi wilayah tersebut. -Gambar fail/Pexels
Pelaburan Malaysia itu turut diiktiraf semasa Forum Pelaburan Banten 2026 pada Jumaat, apabila negara menerima anugerah Penghargaan Rakan Strategik sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan kepada pembangunan ekonomi wilayah tersebut. -Gambar fail/Pexels

Advertisement

Ringkasan AI

  • Malaysia kekal sebagai pelabur asing terbesar di Banten, Indonesia bagi 2023 hingga 2025 dengan pelaburan direalisasi bernilai Rp43 trilion atau RM9.81 bilion.
  • Seramai 174 syarikat Malaysia kini beroperasi di Banten, didorong ekosistem perindustrian mantap, logistik bersepadu dan sokongan kerajaan wilayah.
  • Malaysia menerima anugerah Penghargaan Rakan Strategik pada Forum Pelaburan Banten 2026 atas sumbangan kepada pembangunan ekonomi wilayah tersebut.

JAKARTA: Malaysia sekali lagi muncul sebagai pelabur asing terbesar di wilayah Banten, Indonesia bagi tempoh antara 2023 hingga 2025, dengan merekodkan pelaburan direalisasi bernilai Rp43 trilion atau RM9.81 bilion (Rp1 juta = RM228.10).

Kaunselor Menteri (Ekonomi) di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Ahmad Akmal Muhamad berkata sejumlah 174 syarikat Malaysia kini beroperasi di Banten menunjukkan kehadiran besar perniagaan negara di wilayah tersebut.

"Kehadiran mereka didorong oleh beberapa faktor, termasuk ekosistem perindustrian yang mantap, ketersambungan logistik bersepadu, kerajaan wilayah yang menyokong serta pihak berkuasa pelaburan yang proaktif," katanya kepada Bernama.

Pelaburan Malaysia itu turut diiktiraf semasa Forum Pelaburan Banten 2026 pada Jumaat, apabila negara menerima anugerah Penghargaan Rakan Strategik sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan kepada pembangunan ekonomi wilayah tersebut.

Ahmad Akmal berkata pengiktirafan itu mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai pelabur asing terbesar di Banten dalam tempoh tiga tahun tersebut, diikuti Singapura dan Jepun.

Beliau mengenal pasti tiga kawasan perindustrian utama yang menyokong perniagaan Malaysia, iaitu koridor petrokimia dan industri berat di Cilegon dan barat Serang, koridor pembuatan pelbagai sektor dan logistik di Kabupaten Serang serta zon teknologi tinggi dan inovasi digital di Tangerang.

Malaysia juga muncul sebagai pelabur asing terbesar di Banten pada 2022, dengan merekodkan pelaburan direalisasi sebanyak Rp17.31 trilion, menurut angka yang dikeluarkan oleh kerajaan wilayah tersebut.

Menurut Agensi Perangkaan Indonesia (BPS) dan kerajaan wilayah, Banten, yang meliputi kawasan seluas kira-kira 9,356 kilometer persegi di hujung barat Pulau Jawa, bersempadan dengan Jakarta dan Jawa Barat serta berfungsi sebagai pintu masuk antara Jawa dan Sumatera merentasi Selat Sunda.

Wilayah tersebut mempunyai 21 kawasan perindustrian dan dua zon ekonomi khas, iaitu Tanjung Lesung serta Zon Ekonomi Khas Pendidikan, Teknologi dan Kesihatan Antarabangsa Banten di Bumi Serpong Damai, demikian menurut Agensi Pelaburan dan Perkhidmatan Bersepadu Sehenti (DPMPTSP) Banten.

Asas perindustrian Banten merangkumi keluli, petrokimia, bahan kimia dan pemprosesan makanan, yang disokong oleh infrastruktur pelabuhan  termasuk Pelabuhan Ciwandan yang mengendalikan kargo am, komoditi makanan serta penghantaran industri khusus, demikian menurut pengendali pelabuhan milik negara, PT Pelabuhan Indonesia (Pelindo).

Sementara itu, pengendali feri milik negara PT ASDP Indonesia Ferry memaklumkan pada Februari bahawa laluan penyeberangan Merak-Bakauheni, yang menghubungkan Banten dengan wilayah Lampung di Sumatera, berfungsi sebagai koridor pengangkutan utama bagi penumpang, kenderaan dan pengagihan barangan.

Menurut data BPS yang dikeluarkan pada 2 Februari, Banten mencatatkan nilai perdagangan barangan kira-kira US$51.93 bilion (US$1 = RM4.08) pada 2025, yang terdiri daripada eksport bernilai US$13.01 bilion dan import bernilai US$38.92 bilion yang mana masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak 6.66 peratus dan 1.62 peratus berbanding tahun sebelumnya.

-- BERNAMA

 

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Berapakah nilai pelaburan Malaysia di wilayah Banten antara 2023 hingga 2025? 
    A: Nilai pelaburan Malaysia yang direalisasi di wilayah Banten antara 2023 hingga 2025 adalah Rp43 trilion atau RM9.81 bilion.
  • Q: Berapakah jumlah syarikat Malaysia yang beroperasi di Banten? 
    A: Sebanyak 174 syarikat Malaysia kini beroperasi di wilayah Banten.
  • Q: Apakah faktor yang mendorong kehadiran syarikat Malaysia di Banten? 
    A: Faktor yang mendorong kehadiran syarikat Malaysia di Banten termasuk ekosistem perindustrian yang mantap, ketersambungan logistik bersepadu, kerajaan wilayah yang menyokong, dan pihak berkuasa pelaburan yang proaktif.
  • Q: Apakah pengiktirafan yang diterima Malaysia semasa Forum Pelaburan Banten 2026? 
    A: Malaysia menerima anugerah Penghargaan Rakan Strategik sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan kepada pembangunan ekonomi wilayah Banten.
  • Q: Apakah sektor utama perindustrian di Banten yang menyokong perniagaan Malaysia? 
    A: Sektor utama perindustrian di Banten yang menyokong perniagaan Malaysia ialah koridor petrokimia dan industri berat di Cilegon dan barat Serang, koridor pembuatan pelbagai sektor dan logistik di Kabupaten Serang, serta zon teknologi tinggi dan inovasi digital di Tangerang.

Must Watch Video

Advertisement