BISNES

Malaysia teliti komponen utama bagi dasar, hala tuju pembangunan blockchain

Bernama 03/11/2025 | 06:45 MYT
Gobind Singh Deo berkata perkara itu merangkumi penerimagunaan teknologi blockchain bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan dan ketelusan sektor pentadbiran kerajaan, industri dan rakyat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Digital sedang meneliti komponen utama yang diperlukan dalam pembangunan dasar dan hala tuju blockchain negara.


Ringkasan AI
  • Kementerian Digital sedang meneliti komponen utama pembangunan dasar dan hala tuju blockchain negara, termasuk penerimagunaan teknologi blockchain untuk meningkatkan kecekapan, keselamatan dan ketelusan dalam sektor kerajaan, industri dan rakyat.
  • Kerajaan sedang membangunkan rangka kerja kawal selia bagi tokenisasi aset secara bersepadu melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia, dengan penekanan kepada pengurusan aset dan pembangunan pasaran modal.
  • Pasukan Kerja Dasar Blockchain Negara telah ditubuhkan melibatkan pakar dari sektor awam dan swasta, manakala aspek pembangunan tenaga kerja tempatan dalam bidang blockchain akan dilaksanakan melalui pendidikan inklusif, latihan industri dan kerjasama institusi akademik.


Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata perkara itu merangkumi penerimagunaan teknologi blockchain bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan dan ketelusan sektor pentadbiran kerajaan, industri dan rakyat.

"Pengaplikasian teknologi blockchain menerusi tokenisasi akan turut diteliti khususnya dalam aspek pengurusan aset dan pembangunan pasaran modal bagi menjamin keselamatan transaksi dan kestabilan ekosistem digital.

"Kerajaan sedang membangunkan rangka kerja kawal selia bagi tokenisasi aset secara bersepadu melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai rancangan untuk meneruskan inisiatif yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Rantaian Blok Nasional 2021-2025 dan sama ada kerajaan akan memperkenalkan rangka kerja kawal selia atau undang-undang khusus berkaitan tokenisasi aset dan blockchain.

Gobind berkata pihaknya telah menubuhkan Pasukan Kerja Dasar Blockchain Negara yang dianggotai pakar dan individu yang berpengalaman dalam teknologi blockchain daripada sektor awam dan swasta sebagai satu sinergi bagi membangunkan dasar dan hala tuju blockchain negara yang holistik dan inklusif.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Syerleena mengenai langkah kementerian untuk memastikan tenaga kerja tempatan bersedia dalam bidang blockchain, menteri berkata perkara tersebut diteliti dalam pembangunan Dasar Blockchain Negara yang diterajui kementeriannya.

Beliau berkata aspek utama ditekankan adalah pendidikan inklusif, latihan berasaskan keperluan industri, dan tarikan bakat global melalui pendekatan senegara menggabungkan kerjasama erat antara kerajaan, industri, dan institusi akademik.

"Di samping itu, antara strategi utama yang sedang dipertimbangkan dalam memastikan tenaga kerja tempatan bersedia dalam bidang blockchain termasuk pemerkasaan institusi pendidikan tinggi, memperkukuh kesediaan tenaga kerja dan padanan industri, serta meningkatkan profesionalisme dan mobiliti bakal global," katanya.

-- BERNAMA



#Malaysia #blockchain #Kementerian Digital #Gobind Singh Deo