BISNES
Malaysia terima komitmen pelaburan RM486 juta di MIPCOM 2025 - Fahmi
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pelaburan itu dijangka berupaya menghasilkan hingga 1,500 peluang pekerjaan kepada pemain industri tempatan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Industri perfileman negara menerusi Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FiMI) berjaya meraih komitmen pelaburan berjumlah RM486 juta di Marche International des Programmes de Communication (MIPCOM) 2025, pasaran kandungan terbesar dunia yang berlangsung di Cannes, Perancis, Oktober lepas.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pelaburan itu dijangka berupaya menghasilkan hingga 1,500 peluang pekerjaan kepada pemain industri tempatan.
Beliau berkata ini sekali gus akan memberi pulangan dalam bentuk gandaan ekonomi hingga mencecah RM1.66 bilion.
"Saya telah mengarahkan supaya Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) (Datuk Azmir Saifuddin Mutalib) dan Pengerusi FINAS (Datuk Hans Isaac) untuk merangka perancangan bagi tahun depan supaya gerak kerja bagi tujuan promosi dan menarik pelaburan seperti ini dapat dirangka dengan lebih menyeluruh," katanya.
Fahmi berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 yang kemudian diluluskan Dewan Rakyat dengan lebih suara bersetuju, hari ini.
Fahmi berkata sejumlah RM110 juta diperuntuk kerajaan untuk inisiatif FiMI tahun depan.
Beliau berkata ia melibatkan pemberian 30 peratus rebat kepada pembikin filem yang membuat penggambaran di Malaysia, selain tambahan lima peratus sekiranya mereka memasukkan elemen kebudayaan tempatan.
"FiMI merupakan insentif yang agak kompetitif, banyak negara di Asia Tenggara dengan lokasi-lokasi yang sangat menarik dan indah. Jadi kita bersaing secara sihat sesama negara di rantau Asia Tenggara," katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan tidak berhasrat mengenakan apa-apa syarat pembikinan filem, sijil penggambaran atau Surat Perakuan Penggambaran FINAS kepada pempengaruh atau pengaudio siar.
"Kita juga tidak berhasrat untuk mengenakan apa-apa syarat perlesenan kepada platform OTT (perkhidmatan penstriman menerusi Internet) pada waktu ini," katanya.
Selari dengan pindaan Akta FINAS 1981 (Akta 244) itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi juga dalam proses memperbaharui Dasar Filem Negara (DFN) dan berharap dapat dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.
Terdahulu, Fahmi berkata pindaan kepada Akta 244 bertujuan memastikan pengembangan bakat dan inovasi negara dapat berlangsung dalam ekosistem yang lebih tersusun dan teratur.
Beliau berkata pindaan yang merangkumi tiga aspek utama iaitu pembangunan industri, penambahbaikan tadbir urus serta pemantapan fungsi dan penguatkuasaan itu sama sekali tidak bertujuan untuk menyekat atau mengongkong kreativiti penggiat industri.
"Dengan dasarnya untuk memperluas skop kawal selia kepada teknologi baharu termasuk platform digital, pindaan ini juga akan memberi implikasi kepada pindaan perundangan subsidiari yang memperincikan bentuk perlindungan yang lebih jelas kepada penggiat industri termasuk isu kebajikan kru, kontrak standard, jaminan pekerjaan, bayaran kepada kru dan keselamatan produksi.
"Melalui pindaan ini, peraturan dan perundangan subsidiari di bawah akta ini turut akan dipinda bagi memastikan keselarasan dasar serta pelaksanaannya dapat menyokong hala tuju dan visi FINAS sebagai peneraju industri perfileman negara serta pemangkin kepada pembangunan kandungan kreatif tempatan," katanya.
-- BERNAMA