TASHKENT: Nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Uzbekistan mencecah RM430.2 juta (AS$108 juta) bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, sekali gus mencerminkan potensi besar untuk memperluas kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Perkara itu dimaklumkan Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan, Rafeedah Abdul Aziz, ketika mengucapkan selamat berangkat pulang kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Lapangan Terbang Antarabangsa Islam Karimov, Tashkent, pada Sabtu.
Turut mengiringi keberangkatan pulang baginda berdua ialah anakanda puteri kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Menurut Rafeedah, Kedutaan Besar Malaysia di Tashkent terus komited memperkukuh hubungan dua hala menerusi pelbagai libat urus strategik dengan pihak berkepentingan di Malaysia dan Uzbekistan.
Katanya, usaha itu memberi tumpuan kepada penerokaan peluang kerjasama baharu bukan sahaja di Uzbekistan, malah di rantau Asia Tengah secara keseluruhan, merangkumi sektor perdagangan, pelaburan, pendidikan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), industri halal, kewangan Islam, pelancongan, kebudayaan, tenaga hijau, sains dan teknologi serta kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, nilai dagangan sedia ada berpotensi untuk terus ditingkatkan, khususnya melalui sektor pembuatan, elektrik dan elektronik (E&E), industri makanan serta komoditi termasuk minyak dan produk berasaskan kelapa sawit.
Perkembangan itu dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua negara untuk memperluas akses pasaran, mengukuhkan jaringan perniagaan serta meneroka pelaburan baharu yang memberi manfaat bersama.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra menamatkan lawatan kerja ke Uzbekistan yang antara lain menyaksikan baginda merasmikan Seminar Warisan Nabawi Antarabangsa (SWAN X) 2026 di Samarkand.
Program berkenaan turut disertai Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) sebagai rakan strategik penganjuran bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Lawatan tersebut turut dilihat sebagai platform memperkukuh hubungan rakyat ke rakyat serta memperluas jaringan kerjasama akademik dan institusi antara Malaysia dan Uzbekistan.