[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
BUSINESS

Malaysia-Brazil perkasa latihan reka bentuk cip

Ian Johan Ariff 16/04/2025 | 11:36 MYT
Pengurus Besar Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM), Angel Low, menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum bengkel bermula.
PUCHONG: Akademi Semikonduktor Malaysia (ASEM) hari ini mengorak langkah penting dalam usaha memodenkan pendidikan kejuruteraan semikonduktor negara menerusi bengkel Train-The-Trainer (TTT) selama sehari yang berlangsung di Malaysia Semiconductor IC Design Park, Pusat Kewangan Korporat Puchong (PFCC).
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif bersama Brazil x Malaysia Bilateral Semiconductor Programme yang bertemakan “Delivering the Next Gen of Chip Builders”, dan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, inovasi, serta kerjasama global dalam bidang teknologi cip.
Sebanyak 60 pensyarah daripada 19 universiti awam dan swasta di seluruh Malaysia telah mengambil bahagian dalam bengkel ini yang dikendalikan oleh Von Braun Labs dari Brazil — sebuah pusat R&D terkemuka dalam bidang mikroelektronik, AI dan IoT.
Peserta diperkenalkan kepada ChipInventor, sebuah platform reka bentuk cip berasaskan awan (cloud-based Electronic Design Automation) dari Brazil yang dibangunkan oleh Von Braun Labs dan dikuasakan oleh AWS.
Perisian ini membolehkan proses reka bentuk dan simulasi cip dilakukan secara terus melalui pelayar web, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap peralatan mahal dan rumit.
Menurut Pengurus Besar ASEM, Angel Low, bengekl ini penting agar pensyarah universiti tempatan mendapat akses kepada teknologi dan ilmu bertaraf dunia.
“Bengkel ini merupakan salah satu daripada pelbagai usaha kami untuk memperkukuh industri semikonduktor Malaysia.
“Kami sedang membina kerjasama global bersama Von Braun Labs dan rakan industri lain seperti ARM, TSMC, MediaTek, Vanguard, serta Shenzhen Institute of Information Technology bagi memastikan rakan universiti kami mendapat akses kepada pengetahuan, kemahiran dan teknologi bertaraf dunia.
“Ini menandakan permulaan usaha jangka panjang untuk meletakkan Malaysia sebagai hab inovasi semikonduktor,” kata Angel.
Menurut pensyarah Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia, Jasmine Hau, bengkel ini telah membuka matanya terhadap potensi penggunaan teknologi reka bentuk cip yang lebih mudah diakses oleh semua lapisan pendidikan.
“Bengkel ini memperkenalkan kami kepada alat EDA berasaskan web yang boleh diakses oleh semua.
“Ia membuka peluang untuk reka bentuk litar bersepadu (IC) dipopularkan di semua peringkat pendidikan, kata Jasmine.
Inisiatif ini turut menyokong Strategi Nasional Semikonduktor (NSS) yang mensasarkan untuk melahirkan 20,000 jurutera berkemahiran tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menerusi latihan kepada pensyarah ini, ASEM memulakan pemindahan ilmu di peringkat akar umbi — di bilik kuliah.
Selain TTT, ASEM turut menjalankan National Semiconductor Excellence Programme (NSEP) — program latihan jangka pendek untuk pelajar dan graduan universiti dalam bidang reka bentuk dan pengesahan litar bersepadu (IC).
Permohonan untuk pengambilan Julai 2025 kini dibuka di www.asemedu.com/applynow.
ASEM ialah entiti utama di bawah Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Semikonduktor Malaysia, satu inisiatif nasional yang diterajui bersama oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC) dan Kementerian Ekonomi Malaysia.
#ASEM #SIDEC #ChipInventor #semikonduktor