Malindo Air menawarkan satu juta tempat duduk dengan promosi tambang rendah bermula daripada RM69, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang ke semua rangkaian destinasinya.

"Promosi tambang rendah, sehala merangkumi semua, bermula daripada RM69 bagi Kelas Ekonomi dan RM199 bagi Kelas Perniagaan untuk penerbangan KLIA/Subang ke Pulau Pinang atau Kuala Terengganu atau Langkawi atau Johor Bahru.

"Dari KLIA ke Singapura atau Bangkok atau Hanoi, tambang yang ditawarkan ialah RM109 bagi Kelas Ekonomi dan RM359 bagi Kelas Perniagaan, manakala dari KLIA ke Perth atau Kochi atau Hong Kong, tambang ditetapkan pada RM299 bagi Kelas Ekonomi dan RM799 bagi Kelas Perniagaan," kata Malindo dalam satu kenyataan hari ini.

Promosi ini sah mulai hari ini hingga 27 Nov, 2016 bagi tempoh perjalanan dari 1 Jan hingga 30 Sept 2017.

Malindo menjangkakan sambutan yang amat baik memandangkan tambang rendah itu disertakan nilai tambah penawaran dan perkhidmatan di seluruh rangkaiannya yang pesat bekembang di Asia dan Australia, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Chandran Rama Muthy.

Promosi ini adalah untuk meraikan kejayaan Malindo Air yang dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Serantau Asia Pasifik Terbaik pada majlis Anugerah Kecemerlangan Penerbangan Asia Pasifik CAPA 2016 yang diadakan baru-baru ini di Singapura. - BERNAMA