MARA hantar dua peserta ikuti kursus gunting rambut di London

Bernama
November 10, 2017 01:39 MYT
Program WAHL 'Battle of the Barber' anjuran Mara melibatkan 20 peserta yang akan menerima Skim Bantuan Pembiayaan Mara . - Foto Bernama
Dua peserta program Tukang Gunting 'Hair In Trend' (HIT) dipilih sebagai penerima Anugerah HIT London 2017 bagi mengikuti kursus lanjutan di London School of Barbering (LSB) selama 12 hari, awal bulan depan.
Dzul Bakhtiar Rajyudin, 33 dan Afian Mohamad, 29 berjaya mengalahkan 20 peserta lain dalam Malam Anugerah Tukang Gunting HIT 2017 anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Hotel Premiera di sini, malam tadi.
Dzul Baktiar berkata peluang tersebut dapat menaikkan ekonomi Bumiputera melalui industri pengguntingan rambut sekali gus memperoleh pendapatan lumayan dengan bekerja sendiri.
"Seperti yang kita tahu tidak ramai Bumiputera menceburi bidang ini, jadi ini merupakan platfrom terbaik untuk saya meningkatkan kemahiran di peringkat profesional, " katanya yang telah 11 tahun berkecimpung dalam industri tersebut.
Beliau, yang memiliki kedai gunting rambut di Gemencheh, Negeri Sembilan, merancang membuka kedai bertaraf premium di bawah jenama HIT di Melaka selepas menamatkan kursus tersebut.
Sementara itu, Afian, yang baru lima bulan memiliki kedai gunting rambut di Sungai Petani, Kedah, berkata kemenangan malam ini menjadi pemangkin semangat untuk beliau mengembangkan kerjayanya."Selama ini saya mengambil pengalaman selama lapan tahun makan gaji di salun orang, dah tiba masa untuk berada di tahap lebih baik dengan mengusahakan premis sendiri, " katanya.
Seorang lagi peserta, Mohamad Yousman Mustaffa, 33, dipilih menerima Anugerah Komitmen Terbaik HIT 2017 berdasarkan penglibatan dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang empat bulan program berlangsung.
Terdahulu, Pengerusi Mara, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata dua peserta itu dipilih berdasarkan kemahiran, komitmen dan daya keusahawanan yang tinggi.
Program WAHL 'Battle of the Barber' anjuran Mara melibatkan 20 peserta yang akan menerima Skim Bantuan Pembiayaan Mara antaranya transformasi premis perniagaan dan modal pusingan.-- BERNAMA
#Bumiputera #gunting rambut #hotel #London #MARA