Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
BISNES

Margin EBIT pengeluar sarung tangan getah Malaysia dijangka tidak akan pulih sebelum 2028

Bernama 24/10/2025 | 20:30 MYT
Top Glove pada masa ini mempunyai struktur kos yang setara dengan rakan pesaingnya di China, manakala Hartalega Holdings Bhd dan Kossan Rubber Industries Bhd berpotensi untuk menyamai tahap itu menjelang 2027. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: CGS International menjangkakan margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pengeluar sarung tangan Malaysia akan kekal lemah pada kadar US$0.50 bagi setiap 1,000 helai pada 2024 dan pemulihan ke paras sebelum COVID-19 sebanyak US$3 bagi setiap 1,000 helai dijangka tidak berlaku sebelum 2028.

Ia berkata lebihan bekalan yang berpanjangan dalam pasaran sarung tangan global, ditambah pula dengan perubahan dalam struktur kos khususnya kos tetap seperti buruh dan tenaga, telah mengubah pengeluar Malaysia daripada peneraju kos sebelum pandemik kepada pengeluar kos marginal berbanding pengeluar baharu yang berpangkalan di China.

"Berdasarkan anggaran kami, kapasiti baharu oleh pengeluar China di luar China bagi mengelakkan tarif Amerika Syarikat boleh menambah sebanyak 17.2 peratus atau 84 bilion helai kepada bekalan global menjelang 2027, sekali gus memberi tekanan selanjutnya kepada keseimbangan pasaran dan pemulihan margin," kata firma pelaburan global Asia itu dalam nota penyelidikan pada Jumaat.

CGS International berkata pengeluar sarung tangan Malaysia telah kehilangan kedudukan mereka sebagai peneraju kos, yang mana 17.7 peratus lebih murah daripada pengeluar China pada 2017 dan kini menjadi pengeluar kos marginal, iaitu 7.5 peratus lebih mahal dari China pada 2024.

Menurutnya, keadaan ini menjadikan pengeluar sarung tangan Malaysia lebih terdedah kepada dinamik permintaan dan penawaran.

Ia berkata kos tetap yang lebih tinggi daripada pemansuhan subsidi tenaga dan peningkatan kos buruh di Malaysia telah mendorong perubahan ini.

Dalam kalangan pengeluar sarung tangan Malaysia, CGS International berkata Top Glove pada masa ini mempunyai struktur kos yang setara dengan rakan pesaingnya di China, manakala Hartalega Holdings Bhd dan Kossan Rubber Industries Bhd berpotensi untuk menyamai tahap itu menjelang 2027.

"Kami telah mengurangkan anggaran keuntungan bersih teras sektor ini masing-masing sebanyak 12 peratus, 11 peratus dan 11 peratus bagi tahun 2025, 2026 dan 2027 kerana kami percaya lebihan bekalan global yang berterusan akan terus menekan margin," tambahnya.

-- BERNAMA







#keuntungan bersih #Top Glove #sarung tangan getah #pendapatan sebelum faedah dan cukai