Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
BISNES

MATRADE bimbing syarikat pertengahan Malaysia teroka pasaran pertumbuhan tinggi India

Bernama 21/11/2025 | 14:00 MYT
Delegasi Malaysia turut menyertai Ekspo Perdagangan Dunia keenam dan Sidang Kemuncak Ekonomi Global ke-10 di Mumbai untuk mempertingkatkan penjenamaan di peringkat global serta meneroka perkongsian baharu. - Gambar MATRADE
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengorak laluan baharu untuk syarikat peringkat pertengahan Malaysia memanfaatkan pasaran India yang berkembang pesat melalui misi penerokaan pasaran ke Mumbai dari 19 hingga 21 November.


Ringkasan AI
  • MATRADE mengadakan misi penerokaan pasaran ke Mumbai bagi syarikat peringkat pertengahan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dengan peserta ekosistem perniagaan India dan meningkatkan keterlihatan syarikat tempatan dalam pelbagai rantaian bekalan.
  • Misi tersebut bertujuan menempa kerjasama strategik baharu, menggalakkan penyelesaian perniagaan inovatif, serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pembekal yang kompetitif, melalui Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP).
  • Delegasi Malaysia turut menyertai Ekspo Perdagangan Dunia keenam dan Sidang Kemuncak Ekonomi Global ke-10 di Mumbai, mempertingkatkan penjenamaan di peringkat global dan meneroka perkongsian baharu dengan India yang merupakan ekonomi kelima terbesar dunia, membuka peluang perdagangan yang luas untuk Malaysia.


MATRADE menjelaskan empat syarikat menyertai misi itu untuk memperkukuh kerjasama dengan peserta ekosistem perniagaan dinamik India, memanfaatkan prospek eksport baharu, dan meningkatkan keterlihatan syarikat peringkat pertengahan Malaysia dalam pelbagai rantaian bekalan.

"Misi ini mencerminkan komitmen teguh MATRADE untuk menyokong syarikat Malaysia menembusi pasaran pertumbuhan tinggi seperti India.

"Misi ini telah dirangka untuk menempa kerjasama strategik baharu, memggalakkan penyelesaian perniagaan yang inovatif dan mampan, serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pembekal yang kompetitif dan berkeupayaan melalui Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP)," menurut MATRADE dalam kenyataan hari ini.

Kalangan syarikat yang menyertai telah mengadakan pertemuan dengan persatuan industri utama dan entiti perniagaan berkaitan seperti Dewan Pelaburan dan Perniagaan Antarabangsa, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bombay, Persatuan Peruncit India, Dewan Perniagaan dan Perindustrian PHD, Indo-Global Trade Development EXIM CCI, Dewan Perniagaan India dan Maybank India.

Delegasi Malaysia turut menyertai Ekspo Perdagangan Dunia keenam dan Sidang Kemuncak Ekonomi Global ke-10 di Mumbai untuk mempertingkatkan penjenamaan di peringkat global serta meneroka perkongsian baharu.

India, ekonomi kelima terbesar dunia, terus mencatatkan penggunaan domestik yang kukuh dan perkembangan industri yang pesat, sekali gus membuka pelbagai peluang baharu untuk pengeksport Malaysia.

Pada 2024, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 10.8 peratus kepada RM83.5 bilion berbanding angka pada 2023.

Eksport Malaysia ke India mencecah RM52.1 bilion, didorong oleh minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, komponen elektrik dan elektronik, logam perkilangan, bahan kimia serta produk kimia, dan petroleum mentah.

Import dari India bernilai RM31.4 bilion, merangkumi produk petroleum, produk berkaitan pertanian, bahan kimia dan produk kimia, logam perkilangan serta produk elektrik dan elektronik.

-- BERNAMA


#Matrade #rantaian bekalan #produk petroleum #peluang baharu