KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) melancarkan misi penglibatan pasaran yang disesuaikan ke dua bandar di Filipina, Davao dan Manila, dari 12 hingga 15 Mac, 2024.

Dalam satu kenyataan, Matrade berkata misi itu menunjukkan komitmen agensi dalam memperkukuhkan syarikat peringkat pertengahan (MTC) yang inovatif ke pasaran global serta menyasarkan untuk membantu mereka menguasai landskap pasaran di Filipina.

Misi tu katanya, akan membantu MTC membina hubungan dengan pihak berkepentingan, termasuk pegawai kerajaan, komuniti perniagaan tempatan, dan pakar-pakar dalam industri, serta rakan niaga yang berpotensi.

Pengerusi Matrade Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata MTC Malaysia, di bawah program pembangunan syarikat peringkat pertengahan (MTCDP) agensi itu telah mempamerkan daya tahan, kreativiti dan inovatif yang kukuh dengan berusaha keras meneroka pasaran baharu.

"MTC (di bawah MTCDP) mampu berkembang, meningkatkan pengembangan dalam pasaran dan berintegrasi dalam perniagaan rantaian nilai global, terutamanya pasaran Asean," katanya.

Dalam pada itu, Matrade berkata semasa misi itu berlangsung, MTC akan mengadakan pertemuan dengan pemain utama dalam sektor perniagaan, seperti Dewan Perniagaan Bandar Davao, Persatuan Kontraktor Davao, Bank Pembangunan Asia, serta MTD Philippines Inc.

Pihak MTC juga akan bertemu dengan rangkaian komuniti perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana Filipina, katanya.

Pesuruhjaya Perdagangan agensi itu di Manila, Intan Zalani berkata misi tersebut dilihat akan memberi peluang kepada MTC Malaysia mendapatkan maklumat penting di lapangan berkaitan projek infrastruktur Filipina yang sedang berkembang maju, terutamanya di Davao dan Manila.

"Kami percaya ia akan memberi impak berkesan kepada syarikat Malaysia dengan mendapatkan maklumat secara terperinci bersama pemain industri pembinaan dan bahan binaan di sini agar mereka dapat menentukan hala tuju selanjutnya secara strategik.

"Menjadi syarikat yang mampan dan inovatif adalah penting dan kami percaya MTC Malaysia berdaya saing dalam menyediakan produk dan perkhidmatan sedemikian kepada penduduk tempatan," katanya.

Berdasarkan data terkini daripada Pihak Berkuasa Ekonomi dan Pembangunan Negaranya, Matrade berkata pada masa ini, kerajaan Filipina telah meluluskan 185 projek infrastruktur.

Sementara itu, susulan Perjanjian Perdagangan Bebas Asean sejak 1992, perdagangan dua hala Malaysia dan Filipina terus berkembang, dengan jumlah perdagangan mencecah RM36.12 bilion pada 2023, meletakkan Filipina sebagai rakan dagang ke-16 terbesar Malaysia.

Sejak lima tahun lepas, jumlah eksport kedua-dua negara menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 7.3 peratus daripada RM18.61 bilion kepada RM26.45 bilion, kata Matrade.

MTCDP diperkenalkan pada 2014 sebagai salah satu program pembinaan kapasiti berimpak tinggi kerajaan di bawah Pelan Pembangunan Malaysia untuk mempercepatkan pertumbuhan eksport MTC agar menjadi peneraju di peringkat serantau dan global.

Sehingga kini, sejumlah 348 MTC daripada beberapa sektor, seperti elektrik dan elektronik, aeroangkasa, automotif, jentera dan peralatan, serta minyak dan gas, menyertai program tersebut.

-- BERNAMA