BISNES

MATRADE sokong sasaran eksport RM2.09 trilion menjelang 2030

Bernama 08/08/2025 | 20:45 MYT
Reezal Merican berkata, inisiatif agensi itu akan diselaras untuk menyokong aspirasi kerajaan dalam RMK13. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyokong sasaran pertumbuhan eksport kasar negara pada kadar purata 5.8 peratus setahun, dengan matlamat mencapai RM2.09 trilion menjelang 2030.

Menurut agensi itu dalam kenyataan pada Jumaat, pihaknya akan terus memainkan peranan strategik dalam memperluas jaringan dagang global, memperhebat promosi eksport dalam sektor berimpak tinggi yang sejajar dengan prinsip Ekonomi MADANI.

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, inisiatif agensi itu akan diselaras untuk menyokong aspirasi kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

"Keutamaan akan diberikan kepada memperkukuh daya saing eksport negara melalui pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), penerokaan pasaran baharu, meningkatkan inovasi produk serta penyesuaian kepada landskap perdagangan global yang semakin kompleks dan mencabar dengan mengadaptasi perniagaan berasaskan teknologi digital dan lestari.

"Usaha ini juga selaras dengan aspirasi RMK13 yang menekankan kepentingan memacu pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan eksport, pengukuhan keterangkuman ekonomi serta penyerapan teknologi dan inovasi dalam sektor strategik," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, program promosi eksport memberi tumpuan kepada sektor utama seperti barangan elektrik dan elektronik, halal, digital, pertanian, francais dan perkhidmatan.

"Usaha ini turut memanfaatkan rangkaian pejabat MATRADE di luar negara dalam membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih efektif," katanya.

Menurut MATRADE, pihaknya akan memperluas program pemadanan eksport, bimbingan pasaran luar negara serta menyediakan program pembangunan kapasiti seperti seminar, bengkel dan kursus berkaitan kepada PMKS.

Katanya, langkah strategik turut diambil dalam merancang program pembangunan dan promosi eksport yang sejajar dengan aspirasi kerajaan terutama dalam membangunkan industri pertumbuhan tinggi bernilai tinggi merangkumi sektor elektrik dan elektronik, animasi dan permainan digital, halal, pertanian moden, perkhidmatan global dan francais.

Dalam pada itu, katanya, MATRADE akan menumpukan kepada penerokaan pasaran baharu berpotensi tinggi seperti Amerika Selatan, Afrika, Timur Tengah dan Eropah Timur melibatkan peningkatan penyertaan dalam perjanjian perdagangan bebas, program padanan perniagaan dan misi pecutan eksport.

Selain itu, katanya, pengenalan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) 2.0 akan menjadi dokumen hala tuju strategik baharu bagi menyelaras dasar, meningkatkan kecekapan pelaksanaan dan memperkukuh ekosistem eksport.

-- BERNAMA








#Matrade #perdagangan bebas #ekosistem eksport #permainan digital