Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) terus memacu eksport Malaysia ke Turki apabila ia memuktamadkan Misi Peningkatan Eksport (EAM) ke Istanbul baru-baru ini, menjana potensi jualan bernilai AS$21.91 juta (RM91.92 juta).

Matrade dalam satu kenyataan hari ini berkata sebanyak 16 syarikat Malaysia menyertai EAM itu yang diadakan bersempena dengan MUSIAD Expo Ke-16 dari 9-12 Nov di CNR Expo Centre di Istanbul.

Antara produk dan perkhidmatan yang dipromosikan semasa misi tersebut termasuklah oleokimia, makanan sejuk beku, minuman, produk penjagaan peribadi, peranti perubatan, perkhidmatan kejuruteraan, francais makanan, perkhidmatan runcit dan mesin layan diri pintar, perisian perakaunan Islam dan perkhidmatan perunding perniagaan.

"EAM ini menyediakan pendedahan baik bagi syarikat Malaysia untuk memasuki pasaran Turki dan mendapatkan maklum balas daripada syarikat Turki tentang produk dan perkhidmatan mereka," kata perbadanan itu.

Turut menyertai EAM ialah Alttijara.com, e-pasaran yang menumpukan kepada makanan halal, fesyen, penjagaan kecantikan dan kosmetik dan penjagaan kesihatan.

E-pasaran itu menghubungkan 20,000 pembekal dan peniaga dari Turki, Rusia, Malaysia, Indonesia dan Timur Tengah dengan pembeli dari seluruh dunia.

Semasa misi tersebut, satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Kelab Perniagaan Malaysia Turki (MTBC) dan Independent Industrialists' and Businessmen's Association, Turkey (MUSIAD).

Presiden MTBC Suhaimee Abu Hassan berkata MoU itu adalah untuk membuka ruang bagi pertukaran kepakaran, sumber, projek dan insentif untuk mengukuhkan usaha perdagangan dan promosi pelaburan.

Di bawah MoU tersebut, kedua-dua pihak akan menggalakkan ahli-ahli mereka menyertai pameran perdagangan antarabangsa, pameran, seminar perniagaan dan aktiviti lain termasuk menganjurkan bersama acara perniagaan bagi menyediakan platform perangkaian.

Sejak penubuhannya pada April 2016, MTBC memiliki kira-kira 400 ahli berdaftar terdiri daripada 150 syarikat Malaysia dan 250 syarikat Turki.

Selain penyertaannya baru-baru dalam MUSIAD Expo Ke-16, MTBC juga akan menyertai Halal Expo 2016 yang berlangsung dari 15-17 Dis di Lutfi Kirdar Congress Centre, Istanbul.

Pada 2015, Turki merupakan rakan dagangan ke-28 terbesar Malaysia.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turki pada 2015 bernilai RM5.61 bilion dengan eksport sebanyak RM3.80 bilion dan import RM1.81 bilion.

Eksport utama ke Turki ialah minyak sawit dan produk berasaskan sawit, tekstil dan pakaian, kimia dan produk kimia, barangan perkilangan logam dan produk getah.

Bagi tempoh dari Januari hingga September 2016, perdagangan Malaysia dengan Turki mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan jumlah perdagangan bernilai RM5.69 bilion, peningkatan 47.7 peratus berbanding RM3.85 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Eksport berkembang sebanyak 107.5 peratus kepada RM4.76 bilion manakala import berjumlah RM923.5 juta.

Angka perdagangan menggalakkan ini menunjukkan kesan positif daripada Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki yang berkuat kuasa 1 Ogos, 2015.

MATRADE menggesa syarikat Malaysia yang berminat mengembangkan pasaran eksport mereka di Turki menghubungi pejabat MATRADE di Istanbul menerusi e-mel di [email protected].

-- BERNAMA