KUALA LUMPUR: Maxis Berhad (Maxis) mencatatkan prestasi kukuh pada suku kedua (Q2) berakhir 30 Jun 2021 didorong strategi penyelesaian secara bergabung serta usaha syarikat telekomunikasi itu dalam menyokong komuniti susulan pandemik COVID-19.

Maxis dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan keuntungan selepas cukai (PAT) yang kukuh dengan kenaikan 5.3 peratus tahun ke tahun kepada RM360 juta pada Q2 2021 berbanding RM342 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Manakala dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Maxis memaklumkan, hasil syarikat itu meningkat kepada RM2.26 bilion pada suku kedua tahun ini daripada RM2.15 bilion tahun lepas.

“Untuk Q2 2021, syarikat terus menyaksikan keteguhan dalam perniagaan teras jalur lebar mudah alih dan kediaman yang memacu hasil perkhidmatan serta pertumbuhan EBITDA (pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan) dan PAT yang kukuh.

“Pada suku kedua ini, Maxis menawarkan penyelesaian yang lebih inovatif untuk pelanggannya dan mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam asas pelanggan Maxis Postpaid dan Hotlink Postpaid sambil mengekalkan momentum prabayar hingga pascabayar yang kuat dengan pengambilan Hotlink Postpaid yang bernilai tinggi,” menurut kenyataan itu.

EBITDA syarikat tersebut menunjukkan pertumbuhan sebanyak 6.1 peratus kepada RM1.01 bilion berikutan hasil yang meningkat daripada perniagaan fiber dan mudah alih.

Maxis turut mencatatkan hasil perkhidmatan yang berdaya tahan pada RM1.98 bilion dengan pertumbuhan 3.1 peratus dari tahun sebelumnya berikutan “momentum strategi konvergen yang lebih baik” serta “sumbangan yang lebih tinggi daripada perniagaan fiber dan pascabayar”.

Bagi hasil pascabayar, Maxis merekodkan peningkatan 2.2 peratus dari tempoh sama tahun lepas kepada RM1 bilion manakala pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 7.0 peratus, terutamanya bagi produk Maxis Postpaid dan Hotlink Postpaid.

Bagi hasil prabayar pula, Maxis mencatatkan penurunan 0.1 peratus tahun ke tahun kepada RM685 juta, serta penurunan 0.6 peratus bagi jumlah pelanggan.

"Maxis terus mencatatkan prestasi suku kedua yang baik dengan didorong strategi penyelesaian konvergennya, di samping memberi tumpuan untuk menyediakan kesalinghubungan dan sokongan terbaik untuk komuniti dalam persekitaran yang mencabar ini."

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maxis, Gökhan Ogut, syarikat telekomunikasi itu akan terus menyokong negara dalam persekitaran yang mencabar ini.

“Walaupun kami berpuas hati dengan prestasi teguh yang telah dicapai untuk suku ini, kami tetap memberikan fokus yang berterusan dalam memastikan pelanggan - dari individu, kediaman dan perniagaan - mempunyai akses kepada penyelesaian dan perkhidmatan terbaik.

“Kami komited untuk melabur di Malaysia dengan mendorong penggunaan digital yang lebih besar untuk perniagaan, memperluas rangkaian kami dan membangun kemampuan dan bakat baru,” kata Gökhan.