KUALA LUMPUR: Maxis telah memperluas kerjasama strategik bersama Google Cloud dengan mengintegrasikan kecerdasan buatan generatif (GenAI) ke dalam aliran kerja dan penawaran perkhidmatannya.

Langkah ini menunjukkan komitmen berterusan penyedia perkhidmatan komunikasi itu untuk menyampaikan inovasi terbaik bagi manfaat pelanggannya dengan merintis kemajuan teknologi terkini dalam operasi harian.

Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan GenAI mempunyai potensi untuk merevolusikan transformasi digital perniagaan dan syarikat itu menyasarkan untuk berada di barisan hadapan dalam memacu penerimaan bagi sektor awam dan swasta.

"Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Maxis akan bekerja bersama-sama Google Cloud untuk membolehkan GenAI gred perniagaan dalam persekitaran dalaman dan perkhidmatan pelanggan, memanfaatkan platform Duet AI for Developers untuk bantuan pengekodan dikuasakan AI dalam bahasa semula jadi dan keupayaan berbilang mod daripada model Gemini pada platform Vertex AI.

"Dengan mengintegrasikan keupayaan platform berkenaan, syarikat mengharapkan proses dalaman yang lebih baik, peningkatan produktiviti, wawasan operasi baharu dan pemodelan tingkah laku pelanggan yang ditingkatkan," menurut kenyataan itu.

Syarikat telekomunikasi itu memberitahu, melalui GenAI, ia juga akan memberi tumpuan kepada mengguna pakai rangka kerja holistik yang menyepadukan data, AI dan keselamatan siber untuk meningkatkan daya tahan digital dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan terjamin buat pelanggan dan operasinya.

Menurut Maxis, pembelajaran GenAI juga akan diperluas menerusi program komuniti utama syarikat berkenaan iaitu eKelas Usahawan dan eKelas untuk meningkatkan kemahiran individu dan pelajar sekolah dalam dunia yang semakin dipacu AI.

"Selain itu, Maxis dan Google Cloud akan terus membangunkan penyelesaian GenAI gunaan untuk analisis data dan keselamatan siber serta memperluas peluang kemahiran dan pembelajaran GenAI kepada petugas Maxis," menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Maklumat Maxis Ng May Ching dalam kenyataan berkenaan berkata menerima GenAI yang canggih di tempat kerja bukan sahaja membolehkan proses automasi, tetapi juga memperkasa pekerja untuk menumpukan kepada tugas strategik sambil memperkemas proses.

"Melalui integrasi AI, kita dapat menambah kecekapan, meningkatkan perkhidmatan pelanggan dengan pandangan berasaskan data dan mendorong penambahbaikan berterusan yang sejajar dengan komitmen Maxis terhadap kecemerlangan dengan kekal berdaya tahan, tangkas dan bersedia untuk masa hadapan apabila perkhidmatan digital terkemuka, kandungan dan ketersambungan dalam permintaan," katanya.

Kerjasama antara Maxis dan Google Cloud diumumkan bersempena dengan Mobile World Congress (MWC) 2024 yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol dari 26 hingga 29 Feb, dengan Maxis menyertainya sebagai sebahagian daripada Pavilion Malaysia.

Sementara itu, Pengurus Negara Google Cloud Malaysia Patrick Wee berkata integrasi Maxis dengan pengurusan data bersepadu dan platform pembelajaran mesin Google Cloud menunjukkan pandangan jauh dalam membina asas yang bersedia untuk AI.

"Asas ini kini membolehkan Maxis menggunakan keupayaan GenAI gred perusahaan Google Cloud pada kelajuan dan skala untuk membuka potensi penuh dan memacu nilai perniagaan yang ketara.

"Dengan memperkasakan petugas untuk mengeluarkan cerapan daripada sejumlah besar data dalam bahasa semula jadi dan mewujudkan kod perisian, Maxis dapat menyelaraskan operasinya, membawa perkhidmatan digital baharu ke pasaran dengan lebih cepat dan mencipta pengalaman pelanggan yang berbeza-beza," katanya.

-- BERNAMA