[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
BISNES

Maxis lancar penyelesaian QSN pertama Malaysia bagi kerajaan, perniagaan

Bernama 30/09/2025 | 13:40 MYT
Dalam satu kenyataan, Maxis berkata QSN itu tersedia menerusi Maxis Business, iaitu cabang perniagaan ke perniagaan (B2B) hasil kerjasama dengan Nokia. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Maxis Bhd (Maxis) telah memperkenalkan penyelesaian Rangkaian Selamat Kuantum (QSN) pertama di Malaysia untuk agensi kerajaan dan perniagaan, menjadikannya syarikat telekomunikasi pertama di negara ini yang menawarkan keupayaan keselamatan termaju itu.

Dalam satu kenyataan, Maxis berkata QSN itu tersedia menerusi Maxis Business, iaitu cabang perniagaan ke perniagaan (B2B) hasil kerjasama dengan Nokia.

Perkhidmatan tersebut menyulitkan data secara langsung di lapisan optik, melindungi data kritikal daripada ancaman kuantum pada masa hadapan dan memperkasa perniagaan dalam era kecerdasan buatan (AI) dan awan.

Penyelesaian itu memastikan penyulitan data adalah selamat-kuantum bagi data dalam transit, sekali gus mengurangkan ancaman mendesak 'harvest now, decrypt later', iaitu apabila data yang dipintas hari ini boleh dinyahsulit oleh kuantum komputer pada masa hadapan.

"Ia terutamanya dapat membantu industri kritikal yang mempunyai tahap keperluan yang tinggi dan ketat terhadap integriti serta kedaulatan data seperti perkhidmatan perbankan dan kewangan, penjagaan kesihatan dan sektor awam," katanya.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaannya, Prateek Pashine berkata Maxis sedang menetapkan penanda aras baharu bagi perlindungan rangkaiannya, dalam usaha memberi keyakinan kepada agensi kerajaan dan perniagaan untuk mempercepatkan proses transformasi digital mereka.

"Ia membuktikan komitmen kami untuk membantu memperkukuhkan daya tahan digital Malaysia, seiring dengan agenda keselamatan siber negara," katanya.

Syarikat telekomunikasi itu berkata QSN menambah lapisan keselamatan kalis masa depan kepada perkhidmatan sambungan gentian Maxis, terutama bagi perusahaan, penyedia awan dan institusi kewangan yang bergantung kepada kesalinghubungan pusat data dan rangkaian gentian kapasiti tinggi

Katanya, QSN juga melengkapkan penyelesaian hubungan pusat data Maxis, yang menyediakan akses yang selamat dan peribadi kepada penyedia awan utama dan pusat data di seluruh negara bagi perniagaan dalam persekitaran fizikal, hibrid dan multi-awan.

-- BERNAMA


#Maxis #penyelesaian Rangkaian Selamat Kuantum #lancar penyelesaian QSN pertama Malaysia #Nokia