Malayan Banking Bhd (Maybank) mengunjurkan memperoleh lebih 10,000 pelanggan korporat di seluruh rantau ini, dengan anggaran transaksi bernilai lebih RM1.88 trilion pada 2015, menerusi penggunaan platform Windows Phone 8 untuk aplikasi perbankan mudah alih korporatnya.

Maybank ialah bank pertama di Asean yang mengguna pakai platform Windows Phone 8 Microsoft untuk aplikasi perbankan mudah alih korporatnya, Maybank2E-Regional Cash.

Maybank berkata langkah itu membuka saluran tambahan yang membolehkan pelanggan korporat mengakses Maybank2E-Regional Cash pada platform mudah alih.

Timbalan Presiden dan Ketua Perbankan Global Maybank Datuk Abdul Farid Alias berkata penambahan platform Window Phone 8 untuk Maybank2E-Regional Cash meningkatkan keupayaan pelanggan serantau Maybank bagi mengurus aliran tunai semasa bergerak.

"Pengalaman pelanggan juga dijangka ditingkatkan menerusi platform baharu sentuhan yang dioptimumkan serta antara muka pengguna berasaskan jubin.

"Berikutan perniagaan global yang semakin penting, Maybank2E-Regional Cash diperluaskan bagi memberikan akses yang lebih baik dan memudahkan pelanggan korporat kami," kata Farid dalam satu kenyataan.

Berikutan pelancaran Maybank2E-Regional Cash di Singapura November tahun lepas, maklumat balas pelanggan sangat positif, dengan penambahbaikan dilakukan bagi memastikan kerasian maksimum keperluan pelanggan korporat, katanya.