KUALA LUMPUR: Pelanggan Maybank Malaysia kini boleh mengirim wang dengan mudah kepada kenalan di Singapura melalui 'DuitNow Overseas Transfer'.

Dalam satu kenyataan, Maybank berkata, ia adalah antara bank pertama yang menawarkan perkhidmatan ini setelah dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia pada Festival FinTech Singapura pada 17 November lalu.

'DuitNow Overseas Transfer' membolehkan pelanggan Maybank mengirim wang dengan cepat dan mudah kepada penerima di Singapura dengan hanya menggunakan nombor telefon mudah alih yang berdaftar.

Pelanggan Maybank Singapura juga akan dapat menikmati transaksi yang lancar dengan 'PayNow Overseas Transfer', yang akan dilancarkan secara berperingkat.

"Perkhidmatan ini memudahkan transaksi segera sehingga RM3,000 sehari ke Singapura dan boleh diakses melalui laman web Maybank2u dan aplikasi MAE. Bagi transaksi melebihi RM3,000, pelanggan boleh menggunakan 'Maybank Overseas Transfer'," katanya.

Menurut Maybank, 'Maybank Overseas Transfer' adalah sebahagian daripada inisiatif 'Maybank Beyond Borders' yang juga merupakan tanda komitmen Maybank untuk memberikan perkhidmatan rentas sempadan digital yang komprehensif serta menawarkan penyelesaian kewangan untuk memenuhi keperluan pelanggan Maybank yang sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran masa.

Bagi pelanggan Maybank Singapura pula, Maybank berkata, 'Maybank Overseas Transfer' boleh digunakan melalui aplikasi Maybank2u SG (Lite) dan Maybank2u Online Banking yang mana pelanggan boleh mengirim wang kepada lebih 50 bank dan institusi bukan kewangan yang mengambil bahagian dalam DuitNow.

"Yuran pemindahan pada masa ini dikecualikan untuk 'Maybank Overseas Transfer' dari Singapura ke Maybank Malaysia dan caj S$2.00 kepada bank-bank lain di Malaysia," katanya.

Selain itu, Maybank turut mengumumkan pengecualian yuran untuk 'DuitNow Overseas Transfer' dari sekarang sehingga notis lanjut dikeluarkan, manakala untuk 'Maybank Overseas Transfer' pula, yuran perkhidmatan dikecualikan sehingga 31 Disember, 2023.

Inisiatif 'Maybank Beyond Borders', termasuk ciri 'Regional View' yang baru dilancarkan, membolehkan pelanggan-pelanggan Maybank di Malaysia dan Singapura untuk menguruskan kewangan mereka dengan mudah melalui paparan papan pemuka tunggal yang menyatukan semua akaun deposit tetap dan berjangka, kad, pinjaman dan juga produk-produk kekayaan.

Menurut Maybank lagi, ciri-ciri 'Cross-Border DuitNow QR' juga memudahkan transaksi tanpa tunai ketika melancong ke Singapura, Indonesia, Thailand, dan China.

"Dengan mobiliti pelanggan serantau yang semakin meningkat, Maybank komited untuk menyediakan perkhidmatan kewangan rentas sempadan yang mudah dan berpatutan melalui inisiatif 'Maybank Beyond Borders', dan pada masa yang sama memastikan kemudahan, keselamatan, dan kecekapan aplikasi MAE untuk lebih daripada 15 juta pelanggan Maybank, terutamanya sejuta rakyat Malaysia yang bekerja, belajar, atau tinggal di Singapura," katanya.

Untuk maklumat lanjut, klik di hyperlink= maybank.my/beyondborders. - BERNAMA