BISNES
MBRS 2.0: Tingkatkan adaptasi digital, jimat kos perniagaan - SSM

Sebagai sokongan kepada pelaksanaan fasa ketiga, SSM turut memperkenalkan pengecualian fi kelewatan bagi dokumen yang diserah simpan sehingga September. - Foto SSM
KUALA LUMPUR: Sistem Pelaporan Perniagaan Malaysia (MBRS) 2.0 akan menggiatkan usaha digitalisasi perniagaan dalam negara.
Ringkasan AI
- Semua syarikat kini diwajibkan menyerahkan Penyata Tahunan dan Penyata Kewangan secara digital melalui MBRS 2.0, bagi memperkukuh tadbir urus korporat dan pematuhan undang-undang.
- MBRS 2.0 menjimatkan kos perjalanan dan percetakan, membolehkan akses masa nyata, serta mengurangkan ralat melalui penggunaan format XBRL dan kawalan dalaman automatik.
- MBRS 2.0 dilaksanakan dalam tiga fasa bermula Disember 2024 hingga Jun 2025, disertai pengecualian fi kelewatan dan lebih 783 sesi latihan melibatkan lebih 30,000 peserta setakat Mei 2025.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pendaftaran & Perkhidmatan Perniagaan) SSM, Khuzairi Yahaya berkata, langkah ini juga membantu perniagaan melalui penjimatan kos perjalanan dan kos percetakan dokumen yang perlu diserah simpan kepada SSM, seperti amalan sebelum ini.
“MBRS 2.0 juga sangat mudah untuk diakses, boleh digunakan pada bila-bila masa tidak kira di mana jua. Ini selari dengan keperluan perniagaan moden yang semakin bergantung kepada platform digital. Semua orang mahu digital dan tidak mahu ke pejabat.
“Dari segi aspek kos pula, sistem MBRS ini banyak membantu syarikat dengan jimatkan kos perjalanan dan kos percetakan – terus failkan secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
MBRS 2.0: Tingkatkan adaptasi digital, jimat kos perniagaan - SSM
Tambah Khuzairi, sistem baharu ini juga membolehkan syarikat mendapatkan kemas kini dokumen yang diserah terima secara masa nyata. Manakala format XBRL (eXtensible Business Reporting Language) yang berasaskan standard antarabangsa, membantu memastikan maklumat yang diserah simpan lebih konsisten, teratur dan kurang bergantung kepada intervensi manusia.“Ini kerana apabila kita gunakan sistem ini, ada banyak kawalan-kawalan dalaman yang kita perkenalkan untuk kurangkan ralat. Kadang-kadang apabila manusia yang masukkan data akan berlaku ralat. Jadi kita ada kawalan-kawalan tertentu untuk pastikan maklumat-maklumat ini tepat,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, MBRS 2.0 yang dilancarkan pada 25 September 2024 merupakan penambahbaikan kepada sistem MBRS terdahulu, dan akan dilaksanakan secara mandatori dalam tiga fasa:

Fasa 1 (berkuat kuasa 1 Disember 2024): Melibatkan serah simpan di bawah Akta Syarikat 2016 termasuk PT, PK tidak diaudit, dan permohonan lanjutan masa (EOT).
Fasa 2 (berkuat kuasa 1 Mac 2025): Merangkumi dokumen di bawah Akta Syarikat 1965 termasuk oleh institusi kewangan dan syarikat asing.
Fasa 3 (berkuat kuasa 1 Jun 2025): Melibatkan PK teraudit dan permohonan pengecualian di bawah Akta Syarikat 2016.

Susulan pelancaran MBRS 2.0, SSM akan mewajibkan serah simpan dokumen melalui sistem baharu ini
Sebagai sokongan kepada pelaksanaan fasa ketiga, SSM turut memperkenalkan pengecualian fi kelewatan bagi dokumen yang diserah simpan selepas tempoh tujuh hari tetapi tidak melebihi tiga bulan dari tarikh akhir. Tempoh pengecualian ini bermula dari 1 Jun hingga 30 September 2025.
SSM juga telah melaksanakan lebih 783 sesi latihan MBRS dan MBRS 2.0 yang melibatkan lebih 30,000 peserta sehingga Mei 2025, dengan kerjasama institusi seperti Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA), Persatuan Setiausaha Syarikat Malaysia (MACS), Institut Setiausaha Syarikat Diluluskan (IACS) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Untuk maklumat lanjut mengenai MBRS 2.0, orang ramai boleh melayari portal rasmi SSM di www.ssm.com.my.
Agenda AWANI: SSM wajibkan pelaporan digital melalui MBRS 2.0
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami