JAKARTA: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengunjur 42 syarikat teknologi tinggi Malaysia yang menyertai programnya baru-baru ini di Indonesia bakal menjana RM250 juta dalam peluang eksport digital.

MDEC dalam satu kenyataan semalam berkata program tersebut, DEX Connex dan FOX Xposure, yang dijalankan secara kerjasama dengan KUMPUL, pembina ekosistem keusahawanan Indonesia, disasarkan untuk meningkatkan hubungan kerjasama antara syarikat teknologi tinggi di Malaysia dan Indonesia.

Menurutnya, ia berfungsi sebagai platform bagi para peserta untuk melibat urus, mengembangkan capaian mereka, mempamer syarikat teknologi dari Malaysia dan memudahkan peluang pertumbuhan perniagaan ke arah memacu ekonomi digital di ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mahadhir Aziz berkata, program itu merangsang kerjasama dan perkongsian pengetahuan sebagai pemacu utama bagi inovasi dan pertumbuhan dalam ekonomi digital.

Beliau berkata beberapa syarikat Malaysia dan Indonesia juga bertukar-tukar Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara.

Syarikat Malaysia yang terlibat termasuk Faszz Technology (M) Sdn Bhd, TRB Ventures Sdn Bhd (MHub) dan Verofax Asia Sdn Bhd.

Manakala rakan kongsi dari Indonesia termasuklah H PT Envy Tbk, PT. Aksi Visitama (Tada), PT. Marega Kernel Teknologi, PT The Lorry Online Indonesia dan PT Mitrausaha Indonesia Grup (Modalku).

Sementara itu, MDEC baru-baru ini melancarkan MDEC Horizon Publication, terbitan strategik dan komprehensif yang menyediakan maklumat bernilai mengenai landskap digital Malaysia.

Ia berfungsi sebagai rujukan bagi pemegang kepentingan tempatan dan global untuk mendapatkan data yang boleh diyakini dan perspektif bermaklumat.

MDEC juga akan melancarkan MDX 2023 pada September depan yang akan disertai penceramah tempatan dan antarabangsa serta ahli panel daripada pertubuhan bereputasi yang akan berlangsung di seluruh Malaysia.

-- BERNAMA