KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, akan merombak dan menjenamakan semula inisiatif MSC Malaysia sempena menyambut ulang tahun ke-25, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Mahadhir Aziz berkata MSC yang baharu dan ditambah baik itu akan berusaha mempercepatkan penyertaan semua pihak dalam ekonomi digital dan menangani kebimbangan mengenai jurang digital yang semakin meluas dengan menyediakan akses yang saksama kepada peralatan, pengetahuan dan peluang pendapatan digital, sekali gus meningkatkan nilai cadangan Malaysia untuk menarik lebih banyak pelaburan digital.

"MSC Malaysia telah menjadi asas dan pemangkin kepada ekonomi digital Malaysia, menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2020 dalam tempoh hanya 25 tahun.

''Persekitaran ekonomi digital yang berubah dengan pantas pada hari ini memerlukan MSC diset semula agar kekal relevan dan bersedia untuk melonjakkan pemulihan ekonomi Malaysia.

"Penambahbaikan MSC akan memacu pembangunan ekonomi digital negara, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), serta mendekatkan kita dengan matlamat yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) yang menyasarkan ekonomi digital menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada KDNK negara menjelang 2025," katanya dalam satu kenyataan.

MDEC, menerusi MSC, telah menarik 2,794 buah syarikat aktif berstatus MSC yang secara kolektif telah membawa lebih RM384 bilion nilai pelaburan dan mewujudkan 184,030 peluang pekerjaan sejak 1996.

Setakat Disember 2020, syarikat-syarikat ini telah mencatatkan RM588 bilion pendapatan dan menjana eksport bernilai RM212 bilion.

Mahadhir berkata penambahbaikan MSC ini akan turut menangani jurang yang terdapat dalam rangka kerja sedia ada.

"Keadaan ekonomi semasa menandakan pakej insentif sekarang perlu disemak semula untuk menjadi lebih unik bagi menarik pelabur moden dan peneraju teknologi. Norma baharu dalam pekerjaan jarak jauh dan hibrid juga telah membuka peluang pertumbuhan yang baharu," tambah beliau.

Selain itu, beliau menjelaskan MSC yang ditambah baik akan menawarkan rangka kerja baharu, antaranya semakan Rang Undang-Undang Jaminan dan insentif, pengembangan lokasi untuk MSC mempromosikan aktiviti di seluruh Malaysia, tambah baik tadbir urus dan proses serta jenama baharu.

Pengenalan program Malaysia Digital Nomad dalam Bajet 2022 juga akan menyokong mobiliti bakat digital tempatan dan luar negara serta meluaskan kepakaran digital di seluruh Malaysia, selaras dengan objektif MSC baharu iaitu untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan di rantau ini.

MDEC juga akan menganjurkan perbincangan meja bulat dengan industri dan pemegang taruh ekonomi digital untuk menjana maklum balas dan cadangan berkenaan bagaimana MSC boleh dipertingkat dan ditambah baik untuk menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN, katanya.

-- BERNAMA