KUALA LUMPUR: Pengendali satelit MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd (MEASAT) bercadang menggunakan perkhidmatan jalur lebar satelit berkelajuan tingginya, CONNECTme NOW membabitkan 300,000 rangkaian di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi MEASAT Yau Chyong Lim berkata, setakat ini MEASAT telah memasang lebih 2,000 tapak CONNECTme NOW -- termasuk 1,183 tapak di Sarawak dan 243 tapak di Sabah -- memberi khidmat kepada lebih 200,000 rangkaian jalur lebar di seluruh negara.

"Sejak bermulanya pandemik, rakyat Malaysia semakin peka bahawa akses Internet bukan lagi merupakan satu kemewahan, sebaliknya adalah keperluan berbanding sebelum ini.

"Memandangkan aktiviti pendidikan, ekonomi dan interaksi sosial telah beralih secara dalam talian, kesalinghubungan Internet yang stabil dan boleh digunakan adalah satu kemestian, sekali gus memberi semangat kepada kami untuk menangani cabaran logistik bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang benar-benar inklusif," katanya dalam taklimat media CONNECTme NOW, secara maya hari ini.

CONNECTme NOW adalah perkhidmatan jalur lebar satelit berkelajuan tinggi yang menyediakan akses Internet kepada masyarakat bandar dan luar bandar di lokasi yang tidak diliputi 4G atau kesalinghubungan gentian.

Penolong Naib Presiden MEASAT Ganendra Selvaraj berkata, menerusi penggunaan 'Very Small Aperture Terminal' dan teknologi 'High Throughput Satellite,' MEASAT membolehkan pengguna CONNECTme NOW mengakses Internet melalui baucar Kod Akses Prabayar tanpa kontrak atau caj bulanan tetap, dan memberikan kuasa dan kawalan kepada pengguna.

Beliau berkata CONNECTme NOW telah membantu menghubungkan masyarat yang kurang diberikan perhatian menerusi penempatan di pelbagai kampung Orang Asli di seluruh Banjaran Titiwangsa di Semenanjung Malaysia dan di kawasan di Malaysia Timur yang jauh daripada kesalinghubungan daratan.

"Baru-baru ini kami bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah untuk memperluaskan penggunaan perkhidmatan CONNECTme NOW di 50 kawasan pedalaman di seluruh Sabah," kata Ganendra.

Berikutan kejayaan CONNECTme NOW di Malaysia, MEASAT bercadang membawa perkhidmatan dan teknologi CONNECTme NOW ke peringkat antarabangsa iaitu di negara-negara jiran di Asia Tenggara, diperluaskan untuk menghubungkan populasi di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, dalam masa terdekat, MEASAT berhasrat mengumumkan pelancaran MEASAT-3d pada awal 2022, yang akan menangani keperluan kesalinghubungan Internet kepada 100 peratus populasi yang kurang diberi perhatian apabila MEASAT-3d beroperasi.

-- BERNAMA