KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyambut baik keputusan kerajaan memberikan kelonggaran kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada kenaikan kadar gaji minimum RM1,700.
Penasihat Kanan Hubungan Kerajaan, Media dan Antarabangsa MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata keputusan itu membantu PMKS dalam menghadapi peningkatan kos operasi dan persekitaran perniagaan yang semakin kompetitif.
Beliau turut memuji Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim kerana membawa isu cabaran PMKS kepada Jemaah Menteri serta menekankan kepentingan melindungi kelangsungan, daya saing dan keupayaan perusahaan berkenaan untuk mengekalkan peluang pekerjaan.
“Ini pendekatan bertanggungjawab dan pragmatik kerana mengambil kira realiti dihadapi oleh perniagaan kecil, di samping melindungi peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Syed Hussain menegaskan butiran akhir semakan gaji minimum, termasuk kadar baharu yang dicadangkan serta syarat khusus bagi sebarang pengecualian untuk PMKS, perlu menunggu pengumuman rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2027.
Beliau berkata pertimbangan kerajaan terhadap mekanisme alternatif, termasuk subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif (PWP) ialah pendekatan lebih mampan untuk meningkatkan pendapatan pekerja tanpa meningkatkan kos buruh secara menyeluruh dalam masa terdekat.
“Prinsip penting ialah gaji perlu meningkat seiring dengan produktiviti, kemahiran dan nilai yang dihasilkan,” katanya bahawa insentif gaji bersasar membolehkan PMKS meningkatkan pendapatan pekerja tanpa membebankan operasi mereka secara berlebihan.
Syed Hussain berkata jika kos buruh meningkat lebih cepat berbanding produktiviti dan kemampuan perniagaan, PMKS mungkin berdepan kesan seperti pengurangan pengambilan pekerja, pengecilan operasi, meningkatkan automasi atau penutupan perniagaan.
Beliau berkata PMKS merupakan komponen penting dalam ekonomi dan sektor pekerjaan Malaysia, justeru kelangsungannya perlu diberi perhatian dalam penetapan dasar gaji.
-- BERNAMA