KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) pada Jumaat menyambut baik dan menyatakan sokongan penuhnya terhadap inisiatif kerajaan untuk mencerdaskan semula ekonomi.

Presidennya, Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata usaha pelbagai kementerian telah menjadikan siswazah yang menganggur lebih mudah dipasarkan.

Katanya sokongan kewangan daripada Kementerian Kewangan di bawah inisiatif JaminKerja dan usaha Kementerian Sumber Manusia dalam bentuk latihan dan latihan semula, usaha peningkatan kemahiran dan kemahiran semula oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia serta pelbagai sokongan daripada agensinya Talent Corporation dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Kami di MEF menyokong semua inisiatif yang kerajaan lakukan (dalam semangat) kebersamaan untuk membina semula ekonomi kita.

"Kita perlu menghargai dan bersyukur kerana kerajaan sekarang telah banyak berjasa kepada perniagaan dan rakyat walaupun (mempunyai) sumber yang terhad akibat pandemik," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Syed Hussain, tiga inisiatif JaminKerja - Insentif Penggajian JaminKerja, Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran - disasarkan untuk mewujudkan 600,000 pekerjaan, dengan sejumlah 300,000 penempatan pekerjaan akan dibuat di bawah Insentif Penggajian JaminKerja, 22,000 di bawah Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran dan 80,000 di bawah MySTEP.

Katanya lima pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk membantu mencapai sasaran itu.

Syed Hussain, yang juga ahli Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pemulihan ekonomi dan pelbagai inisiatif untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan telah menunjukkan hasil yang positif dengan 42,166 orang mendapat pekerjaan baharu dan 1,200 peluang pekerjaan diwujudkan sehingga Januari 2022.

Beliau berkata penting untuk mengekalkan momentum ini bagi memastikan matlamat pengangguran di bawah empat peratus tercapai.

"Mencapai pengangguran empat peratus dan ke bawah penting kerana mengikut standard Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), mana-mana negara yang mempunyai kadar pengangguran empat peratus dan ke bawah akan diiktiraf sebagai mempunyai guna tenaga penuh," katanya.

Beliau turut menyambut baik usaha Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjenamakan semula TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) untuk dilihat sebagai pendidikan arus perdana dengan kadar kebolehpasaran yang tinggi, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada golongan muda Malaysia untuk kemajuan kerjaya mereka.

Syed Hussain berkata usaha daripada Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, untuk menambah baik pelbagai proses bagi memudahcara perniagaan turut memainkan peranan yang besar dalam membina semula ekonomi berikutan pandemik COVID-19.

"Kerajaan telah melaksanakan bahagiannya. Kami, perniagaan, perlu melakukan tanggungjawab kami dan rakyat perlu mematuhi prosedur operasi standard dan (mengamalkan) kebersihan yang baik untuk mengawal penularan COVID-19, terutamanya varian Omicron, untuk memastikan usaha pemulihan ekonomi berada pada landasan sepenuhnya," katanya.

-- BERNAMA