Belasungkawa Allahyarham Bung Moktar Radin | Ikuti Perkembangan Terkini Perjalanan Terakhir di sini
BISNES

Melaka bentang Bajet 2026 berjumlah RM621 juta

Bernama 05/12/2025 | 07:00 MYT
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sewaktu berucap pada sesi Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di sini hari ini. - Foto Astro AWANI
MELAKA: Kerajaan negeri hari ini membentangkan Bajet 2026 berjumlah RM621 juta pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini.


Ringkasan AI
  • Kerajaan negeri Melaka mengumumkan Bajet 2026 bernilai RM621 juta, dengan RM528.8 juta untuk Perbelanjaan Mengurus dan RM93 juta untuk Perbelanjaan Pembangunan.
  • Bajet tersebut menumpukan kepada tiga agenda utama iaitu pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat, dan pembangunan modal insan.
  • Sebanyak 5,200 penjawat awam negeri akan menerima Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji minimum berjumlah RM2,000, dan tambahan RM500 akan diberikan pada bulan Mac, selain pengiktirafan kepada media dengan insentif khas sebanyak RM500.


Ketua Menterinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata anggaran Perbelanjaan Mengurus adalah sebanyak RM528.8 juta manakala anggaran Perbelanjaan Pembangunan pula sebanyak RM93 juta.

"Anggaran hasil kerajaan negeri pula sebanyak RM528.9 juta membabitkan Hasil Cukai (RM184.7 juta), Hasil Bukan Cukai (RM295.7juta) dan Terimaan Bukan Hasil (RM48.5 juta)," katanya ketika berucap pada sesi Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di sini hari ini.

Ab Rauf (BN-Tanjung Bidara) berkata sebanyak 204 inisitatif di bawah Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) dirangka bagi kesejahteraan rakyat melalui pembangunan yang terancang dan inklusif.

Katanya bagi anggaran Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM93 juta itu, ia membabitkan RM56.6 juta daripada sumber hasil negeri dan RM28.4 juta daripada Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Geran TAHAP).

Beliau berkata, baki peruntukan turut membabitkan RM8 juta daripada Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) dan RM20 daripada Akaun Pinjaman Disatukan.

Bertemakan "Pembangunan Terancang, Demi Rakyat, Untuk Rakyat", Ab Rauf berkata Bajet 2026 menumpukan tiga agenda utama yang akan dilaksanakan secara komprehensif dan inklusif melalui 13 fokus utama berdasarkan 11 portfolio Exco serta perkhidmatan awam.

Katanya tiga agenda utama tersebut adalah melestarikan pembangunan dan keberhasilan ekonomi, mensejahterakan rakyat dan pembangunan modal insan dan memantapkan tatakelola dan kecekapan tadbir urus.

Ab Rauf turut membawa berita gembira kepada 5,200 penjawat awam negeri apabila mengumumkan Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji minimum berjumlah RM2,000, dengan 1,153 penerima bakal mendapat lebih daripada sebulan gaji, melibatkan implikasi kewangan RM11.379 juta yang akan disalurkan pada akhir Disember.

"Antara penerima yang paling tinggi adalah seramai 631 guru KAFA dan Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). Manakala pemberian tambahan sebanyak RM500 juga akan disalurkan pada Mac depan.

"Buat julung kalinya, kerajaan negeri mengiktiraf peranan media melalui insentif khas sekali beri sebanyak RM500, dengan implikasi kewangan RM75,000," katanya.

-- BERNAMA






#Bajet Negeri Melaka #Ab Rauf Yusoh #Dewan Undangan Negeri Melaka #perbelanjaan mengurus