[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
BISNES

Mengapa Petronas sukar menerima tuntutan semasa Sarawak?

Astro Awani 16/12/2025 | 03:15 MYT
Samirul mencadangkan model hibrid yang membolehkan Petros memainkan peranan bermakna dalam pengagihan gas domestik dan pembangunan industri, manakala Petronas mengekalkan tanggungjawab eksport LNG serta operasi bersepadu.
KESUKARAN Petronas untuk menerima tuntutan semasa kerajaan Sarawak bukan berpunca daripada kurangnya komitmen atau keengganan untuk bekerjasama, sebaliknya disebabkan implikasi besar terhadap struktur fiskal negara dan rangka kerja tenaga nasional, menurut seorang penganalisis.


Ringkasan AI
  • Implikasi besar terhadap struktur fiskal negara dan tenaga nasional disebabkan kesukaran Petronas terima tuntutan Sarawak, menurut penganalisis.
  • Tafsiran tertentu terhadap Ordinan Pengagihan Gas dan Perlombongan Minyak boleh mengatasi Akta Pembangunan Petroleum, menjejaskan operasi Petronas.
  • Cadangan menjadikan Petros pengagregat tunggal gas asli cecair boleh mengganggu model perniagaan Petronas, melemahkan kewangan syarikat serta kesan fiskal negara.


Pensyarah adjung Universiti Teknologi Petronas (UTP), Samirul Ariff Othman berkata tuntutan yang dikemukakan ketika ini, jika diterima sepenuhnya, berpotensi melemahkan kedudukan kewangan negara dan menjejaskan kestabilan persekutuan.

“Hasrat Sarawak untuk memainkan peranan lebih besar dalam pengurusan dan pemanfaatan sumber gas asli adalah wajar. Namun, pelaksanaannya perlu berpandukan realiti undang-undang dan komersial agar tidak menjejaskan sistem tenaga negara,” katanya dalam satu komentar.

Menurut beliau, tafsiran tertentu terhadap Ordinan Pengagihan Gas (DGO) dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) yang meletakkan Petronas di bawah rejim pelesenan negeri boleh mengatasi Akta Pembangunan Petroleum (PDA).

“Jika tafsiran ini diterima, ia bukan sahaja menimbulkan kekeliruan undang-undang terhadap operasi Petronas selama beberapa dekad, malah memberi kuasa veto kepada kerajaan negeri terhadap syarikat minyak nasional,” katanya.

Samirul turut menegaskan cadangan menjadikan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai pengagregat tunggal termasuk dalam eksport gas asli cecair (LNG) akan mengganggu model perniagaan Petronas yang berasaskan integrasi rantaian nilai.

“Margin pengagregat adalah tunjang kepada kedudukan kewangan Petronas. Jika dialihkan tanpa menanggung risiko komersial, ia akan melemahkan asas kewangan syarikat,” jelasnya.

Beliau menambah, Petronas bukan sekadar entiti korporat tetapi merupakan ‘jangkar fiskal’ negara yang menyokong subsidi, perbelanjaan sosial dan penarafan kredit Malaysia.

“Melemahkan Petronas bermakna mengehadkan keupayaan kerajaan persekutuan untuk mentadbir dengan berkesan, khususnya ketika kestabilan politik dan daya tahan ekonomi amat diperlukan,” katanya.

Samirul mencadangkan model hibrid yang membolehkan Petros memainkan peranan bermakna dalam pengagihan gas domestik dan pembangunan industri, manakala Petronas mengekalkan tanggungjawab eksport LNG serta operasi bersepadu.

“Penyelesaian mampan memerlukan kompromi kedua-dua pihak berasaskan kejelasan undang-undang, realiti komersial dan kepentingan nasional,” katanya.







#Petronas #Petros #tuntutan sarawak #Samirul Ariff Othman