BISNES

Meta dilapor bayar AS$15 bilion ambil alih 49% pegangan dalam Scale AI

Amanz 11/06/2025 | 00:50 MYT
CEO Scale AI, Alexandr Wang, akan diberikan jawatan tinggi di Meta dan akan mengetuai pasukan Superintelligence.
PADA Selasa, Meta dilaporkan akan melaburkan AS$10 bilion ke dalam Scale AI.

Pagi ini menurut laporan The Information, Meta telah membayar AS$15 bilion untuk mengambil alih 49% pegangan dalam Scale AI.

Syarikat yang ditubuhkan sembilan tahun lalu itu bertanggungjawab menawarkan data yang dilabel bagi memudahkan model kecerdasan buatan (AI) dilatih dengan lebih baik.

CEO Scale AI, Alexandr Wang kemudiannya akan diberikan jawatan tinggi di Meta dan akan mengetuai pasukan Superintelligence yang dilaporkan semalam.

Ini adalah bagi memastikan Meta akan menjadi syarikat pertama menawarkan kecerdasan buatan am (AGI) sekali gus menguasai dunia AI yang semakin kompetitif sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Isu melibatkan model AI Behemoth yang tidak mencapai sasaran yang ditetapkan Meta tahun ini menjadi pemangkin pembelian Scale AI oleh Meta.

Seperti yang dilakukan oleh Meta sebelum ini, amalan pengambilalihan produk syarikat lain yang lebih baik seperti WhatsApp dan Instagram diteruskan oleh Mark Zuckerberg.

Walaupun syarikat kini menggunakan nama Meta, sudah lama dunia metamesta tidak keluar daripada bibir Zuckerberg.

Sebaliknya tumpuan syarikat kini tertumpu kepada AI dan cermin mata pintar yang dikuasakan oleh AI.

Malahan menerusi kerjasama dengan Anduril minggu lalu, mereka kini juga memasuki arena teknologi ketenteraan.

Sepanjang 2023, Scale AI menjana pendapatan AS$800 juta dan dijangka menjana AS$2 bilion pula tahun ini.

Jelas cepu emas di hujung pelangi seterusnya ialah AGI, dan Zuckerberg enggan melepaskan peluang ini walaupun sebelum ini Facebook dibiarkan kelaparan kerana menyusukan Meta Horizon Worlds sehingga kerugian puluhan bilion.








#Meta #Behemoth #Scale AI #Superintelligence #kecerdasan buatan