[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
BISNES

MIDF Amanah jangka pertumbuhan 4.6 peratus bagi jualan runcit Malaysia pada 2025

Bernama 13/06/2025 | 23:30 MYT
MIDF Amanah berkata, aktiviti pelancongan yang lebih rancak dijangka meningkatkan perbelanjaan pelancong sekali gus menyokong penggunaan keseluruhan. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jualan runcit Malaysia dijangka berkembang sebanyak 4.6 peratus tahun ini iaitu lebih perlahan daripada pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus pada 2024, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan itu berkata pertumbuhan itu akan dipacu oleh pasaran buruh yang kukuh, inflasi yang stabil serta dasar monetari yang bersifat akomodatif.
"Perbelanjaan domestik yang kukuh dijangka menyokong pertumbuhan keseluruhan selain mengimbangi risiko perdagangan luar negara.
"Peningkatan guna tenaga dan pertumbuhan gaji terutamanya dalam sektor berorientasikan domestik akan membantu mengekalkan perbelanjaan isi rumah," kata bank pelaburan tersebut dalam nota penyelidikannya pada Jumaat.
Dari segi pelancongan, ia berkata aktiviti pelancongan yang lebih rancak dijangka meningkatkan perbelanjaan pelancong sekali gus menyokong penggunaan keseluruhan.
"Bagaimanapun, ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan yang semakin meningkat kekal sebagai risiko utama yang boleh menjejaskan sentimen pengguna selain mungkin memberi kesan negatif terhadap keputusan perbelanjaan," katanya.
MIDF Amanah berkata asas ekonomi yang kukuh akan terus menyokong permintaan domestik.
"Memandang ke hadapan, kami menjangkakan pertumbuhan penggunaan yang berterusan, disokong oleh pasaran buruh yang kukuh dengan peningkatan pekerjaan dan pertumbuhan gaji, khususnya dalam sektor yang berorientasikan domestik.
"Inflasi yang stabil, disokong oleh dasar monetari yang akomodatif dan langkah fiskal yang disasarkan dijangka mengukuhkan kuasa beli pengguna serta meningkatkan keyakinan untuk berbelanja," katanya.
Bank pelaburan itu berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia akan terus dipacu oleh penggunaan berdaya tahan serta membantu meredakan kesan ketidaktentuan perdagangan global dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.
Selain itu, katanya sektor pelancongan yang berkembang dipacu oleh peningkatan ketibaan pelancong akan merangsang perbelanjaan serta menyokong penggunaan keseluruhan.
"Walaupun ketegangan perdagangan di antara Amerika Syarikat dengan China sudah reda, kebanyakan langkah tarif yang dirancang masih kekal dan terus memberi tekanan terhadap landskap perdagangan secara keseluruhan.
"Jika Malaysia memperoleh tarif yang lebih rendah secara menyeluruh dan bagi sektor strategik utama, ia akan menyokong unjuran ekonomi yang lebih luas dan membantu mengekalkan daya tahan perbelanjaan domestik," kata MIDF Amanah.
-- BERNAMA
#jualan runcit #pertumbuhan #Pasaran buruh #pelancongan #MIDF Amanah