KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh pada suku ketiga tahun ini, didorong oleh pemulihan yang baik dalam pasaran buruh, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

MIDF menjangka KDNK suku ketiga 2022 akan berkembang +12.5 peratus tahun ke tahun berbanding +8.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua tahun ini, katanya dalam nota penyelidikan semalam.

Pertumbuhan tenaga buruh dan guna tenaga, masing-masing mencecah paras tertinggi sebanyak +3.1 peratus tahun ke tahun dan +4.1 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2022.

"Pemulihan pasaran buruh Malaysia adalah berterusan apabila kadar pengangguran mencecah paras rendah pandemik baharu sebanyak 3.6 peratus pada September 2022.

"Tenaga buruh dan guna tenaga terus berkembang, masing-masing sebanyak 2.9 peratus tahun ke tahun dan 3.8 peratus tahun ke tahun, disokong oleh pertumbuhan ekonomi domestik yang kukuh dan peringkat luaran yang menggalakkan," katanya.

Selain itu, purata kadar pengangguran Malaysia diunjurkan sebanyak 3.8 peratus pada 2022 manakala pasaran buruh di Malaysia dijangka terus mengukuh pada suku keempat tahun ini, disokong oleh momentum yang menggalakkan dalam ekonomi domestik dan pengembangan yang baik dalam sektor luaran.

Mengenai masa depan, MIDF menjangka pasaran buruh Malaysia akan kekal dalam trend pemulihan seperti yang dapat dilihat daripada kadar kekosongan pekerjaan sebanyak 56 peratus pada Ogos 2022.

"Dengan prestasi pasaran buruh yang menggalakkan ini, kami optimis mengenai perbelanjaan pengguna yang lebih kukuh pada separuh kedua 2022 dan seterusnya.

"Selain itu, kadar pengangguran yang semakin berkurangan boleh mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mempertimbangkan normalisasi Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan datang pada Januari 2023.

"Melihat kepada prospek 2023, kami percaya ekonomi Malaysia boleh kekal dalam trajektori meningkat disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, pembukaan semula sempadan antarabangsa, pelaksanaan semula projek pembinaan, pengembangan sektor utama dalam persekitaran harga komoditi global yang tinggi dan aktiviti perdagangan luar yang sederhana," menurut MIDF.

MIDF berpandangan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan mengurangkan ketidaktentuan politik tempatan dan sudah tentu kerajaan baharu akan membentangkan dasar fiskal yang mengembang untuk 2023.

MIDF percaya langkah-langkah rangsangan untuk pemulihan pasaran buruh dan pertumbuhan ekonomi domestik akan menjadi antara elemen utama dalam Bajet 2023 yang akan datang selepas PRU15.

-- BERNAMA