BISNES
Misi perdagangan luar negara berhasil, dua syarikat asing mula projek pelaburan di Malaysia

Tengku Zafrul berkata Gul Technologies sedang menjalin kerjasama dengan Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd, anak syarikat kepada Kulim Hi-Tech Park Corporation Sdn Bhd yang berperanan melatih bakat muda. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dua projek pelaburan asing yang diumumkan semasa misi perdagangan dan pelaburan kerajaan ke luar negara kini telah mula dilaksanakan sekali gus menepis dakwaan bahawa tiada hasil diperoleh daripada lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara.
Ringkasan AI
- Pelaburan Asing Bermula: Dua projek pelaburan asing yang diumumkan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri kini telah mula dilaksanakan Gul Technologies di Kulim, Kedah (RM350 juta) dan EDA di Jasin, Melaka (RM100 juta).
- Manfaat kepada Rakyat Tempatan: Projek Gul Technologies dijangka mewujudkan 350 peluang pekerjaan termasuk latihan juruteknik di China, manakala EDA menyokong 150 vendor tempatan dan menyediakan pekerjaan kepada rakyat tempatan.
- Pelaksanaan Projek MADANI: Daripada 2,198 projek perkilangan yang diluluskan sejak 2023, sebanyak 84.2% (1,849 projek) telah dilaksanakan sehingga Julai 2025.
"Lebih menarik lagi, syarikat ini sedang menjalinkan kerjasama dengan Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd, anak syarikat kepada Kulim Hi-Tech Park Corporation Sdn Bhd yang berperanan melatih bakat muda.
"Melalui kerjasama ini, syarikat akan menggaji 100 juruteknik tempatan yang bakal dihantar ke China untuk menjalani latihan," kata Tengku Zafrul melalui hantaran di platform X semalam.
Beliau berkata satu lagi syarikat yang diumumkan potensinya semasa Misi Perdagangan dan Pelaburan ke luar negara ialah EDA yang telah melabur sehingga RM100 juta di Jasin, Melaka.
"EDA ini adalah projek yang potensinya diumumkan semasa Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Itali pada 2024. EDA juga mempunyai 150 vendor daripada kalangan syarikat tempatan.
"Ini bermakna EDA bukan sahaja mewujudkan pekerjaan di fasiliti mereka, malah menyokong pekerja Malaysia di 150 syarikat tempatan," katanya.
Kedua-dua projek ini adalah antara 2,198 projek perkilangan yang telah diluluskan sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan MADANI daripada 2023 hingga suku pertama 2025.
Tengku Zafrul berkata daripada jumlah itu sebanyak 1,849 projek atau 84.2 peratus telah dilaksanakan sehingga Julai 2025.
"Insya-Allah saya akan kongsi lagi pelaksanaan pelaburan yang diluluskan dari semasa ke semasa. Daripada potensi, kita jadikan realiti," kata beliau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami